Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Wanita disyaki ingkar arahan kuarantin rumah sedang dikesan
Diterbitkan:  Jul 20, 2020 9:53 PM
Dikemaskini: 1:53 PM

Jabatan Kesihatan Perak sedang mengesan seorang wanita yang diletakkan bawah pengawasan Covid-19 kerana dipercayai melanggar arahan pemantauan di rumah (HSO) Covid-19.

Wanita itu dilihat memakai gelang pada tangan kanannya, menunjukkan dia adalah individu di bawah pengawasan (PUS) tetapi dirakam gambarnya sedang makan di sebuah restoran di Bandar Meru Raya, Ipoh.

Gambar itu kemudian tular di media sosial.

Pengarah Kesihatan Perak, Dr Ding Lay Ming, berkata pihaknya mengambil tindakan segera dengan menyiasat perkara itu sebaik saja dimaklumkan mengenainya.

“Jika didapati berasas, tindakan sewajarnya termasuk tindakan undang-undang akan diambil,” kata Ding seperti dipetik Astro Awani hari ini.

Mengikut peraturan, seseorang yang menjalani HSO wajib berada dalam rumah selama 14 hari dan menjalani ujian Covid-19 kedua pada hari ke-13.

Penasihat khas perdana menteri mengenai kesihatan awam Dr Jemilah Mahmood juga membangkitkan kebimbangannya mengenai perkara itu.

"Orang seperti dia yang meningkatkan risiko gelombang kedua negara kita.

"Malu pada diri sendiri puan, malu pada rakan atau keluarga dan kafe yang membenarkannya masuk dan tidak melaporkan yang dia sepatutnya berada di bawah kuarantin.

"Langkah yang lebih ketat diperlukan. Covid-19 masih ada di luar sana," ciap Jemilah di Twitternya pagi tadi.

Dalam kemas kini terbaru, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan 21 kes baru dicatatkan hari ini, sekali gus menjadikan ia yang tertinggi sejak 30 hari lalu

Sebelumnya, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengingatkan rakyat Malaysia agar terus mematuhi norma baru bagi mengekang Covid-19.

Beliau juga memberi amaran negara akan berdepan perintah kawalan pergerakan (PKP) kali kedua jika keadaan kembali memburuk.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS