Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Covid-19: Penguatkuasaan dipertingkat, denda lebih berat
Diterbitkan:  Jul 20, 2020 4:55 PM
Dikemaskini: 9:35 AM

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin memberi amaran bahawa penguatkuasaan akan dipertingkat dan denda lebih berat akan dikenakan terhadap mereka yang melanggar peraturan bagi mengekang Covid-19.

“Penguatkuasaan undang-undang juga akan ditingkatkan dengan denda yang lebih berat akan dikenakan ke atas mereka yang didapati melanggar undang-undang dan peraturan,” katanya dalam siaran langsung perutusan khas perkembangan terkini perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP).

Perdana menteri juga berkata jika perlu, kerajaan akan menempatkan rakyat Malaysia yang baru pulang dari luar negara di pusat-pusat kuarantin bagi mengawal kes import.

“Jika perlu, kerajaan akan menempatkan rakyat Malaysia yang pulang ke tanah air dari luar negara di pusat-pusat kuarantin untuk mengawal kes-kes import dengan lebih berkesan.

Selain memperkukuhkan kawalan di pintu masuk antarabangsa negara, Muhyiddin berkata antara langkah lain yang diambil kerajaan seperti melakukan saringan suhu badan dan gejala jangkitan saluran pernafasan semasa ketibaan.

Kerajaan juga akan merujuk kes bergejala atau dikesan positif ke hospital, mengeluarkan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di rumah bawah seksyen 15(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 selama 14 hari dan yang berkaitan.

“Saya juga hendak mengingatkan saudara-saudari yang pulang dari luar negara supaya menjalani kuarantin di rumah selama 14 hari dengan penuh berdisiplin.

“Duduk di bilik yang berasingan dari ahli keluarga yang lain dan jangan sekali-kali keluar dari rumah sepanjang tempoh kuarantin,” katanya.

“Anda juga mesti melakukan penilaian status kesihatan kendiri menggunakan aplikasi MySejahtera.

“Sekiranya bergejala, maklumkan kepada Pejabat Kesihatan Daerah berhampiran dengan segera. Sekiranya anda gagal mematuhi arahan pengasingan ini, penalti boleh dikenakan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 jika disabitkan kesalahan,” katanya.

Terdahulu, Penasihat Khas Perdana Menteri mengenai Kesihatan Awam, Dr Jemilah Mahmood mengkritik tindakan seorang wanita yang sedang menikmati hidangan sambil memakai gelang tangan kuarantin merah jambu mengundang kritikan ramai.

 Kritikan tersebut dibuat melalui hantaran Twitter beliau hari ini, yang turut menggesa supaya kerajaan mengambil langkah yang lebih tegas berhubung perkara seperti itu, memandangkan penularan boleh terus berlaku jika undang-undang dan peraturan tidak dipatuhi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS