Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
‘Saya bimbang dengan kluster baru Covid-19'
Diterbitkan:  Jul 20, 2020 4:38 PM
Dikemaskini: 9:26 AM

Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin hari ini melahirkan kebimbangan terhadap kewujudan 13 kluster penularan Covid-19 sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), baru-baru ini.

Ini, katanya termasuk kluster restoran di Brickfields, Kuala Lumpur, kluster Stutong di Sarawak dan kluster berpunca daripada mereka yang pulang dari luar negara.

"Walaupun kekal rendah, saya bimbang dengan kewujudan 13 kluster baru sepanjang tempoh PKPP.

"Lebih membimbangkan saya, kes positif kembali mencatatkan dua digit sejak beberapa hari lalu," katanya dalam perutusan khas PKPP di Putrajaya, hari ini.

Sehubungan itu, Muhyiddin menasihatkan orang ramai supaya tidak lalai dan alpa, kerana pandemik Covid-19 belum berakhir.

Katanya, beliau percaya jika rakyat memainkan peranan masing-masing, PKPP dapat dilalui dengan jaya.

Jelasnya negara baru sahaja melihat kesan positif daripada tindakan tegas kerajaan dan disiplin rakyat yang tinggi semasa tempoh PKP dilaksanakan, yang mana ekonomi kembali rancak dan rakyat dapat menikmati semula kehidupan harian dengan mengamalkan kebiasaan baharu.

"Namun, jangan kita lalai dan alpa. Saya nak mengingatkan sekali lagi, pandemik Covid-19 masih belum berakhir.

"Jadi sama-samalah kita beristiqamah dalam mengekalkan kejayaan kita melawan wabak Covid-19. Saya doakan semoga kita semua kekal sihat, kekal sejahtera dan kekal aman bahagia," katanya.



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS