Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sarawak mahu perkenal semula PPSMI, kekal iktiraf UEC
Diterbitkan:  Jul 20, 2020 1:47 PM
Dikemaskini: 5:47 AM

Sarawak akan meneruskan program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), kata Menteri Muda Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi, Annuar Rapaee.

Selain itu, kata Annuar, Sarawak juga berpegang pada keputusannya untuk mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).

Jelas Annuar, keputusan ini menunjukkan pentingnya autonomi Sarawak terhadap pendidikan.

Kenyataan itu hadir selepas kerajaan pusat mengumumkan pada Khamis untuk tidak memperkenalkan semula PPSMI.

“Kami memperkenalkan semula PPSMI di Sarawak mulai tahun ini dengan pelajar Tahun 1.

"Kami sudah mengkaji kritikan dan kelemahan daripada pelaksanaan terdahulu di peringkat nasional, serta mengambil langkah perlu untuk mengatasinya," kata Annuar seperti dilapor Free Malaysia Today.

Saya belum baca atau meneliti kertas kajian itu, tetapi bagi saya, kita perlu lihat kenapa dasar itu gagal dan bukan hanya melupakan pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris," katanya.

Annuar juga berkata bahawa Sarawak percaya bahawa pelaksanaan PPSMI yang asal untuk pelajar Darjah Satu dan Tingkatan Satu terlalu tergesa-gesa.

"Jika anda perkenalkannya untuk pelajar Tingkatan 1, mereka yang belajar subjek itu dalam bahasa Melayu dari Tahun 4 hingga 6 akan terkial-kial.

"Kali ini kami melakukannya secara perlahan-lahan, bermula dengan Tahun 1 dan seterusnya," katanya.

Selain itu, tambah Annuar, guru juga akan dilatih untuk mengajar kedua-dua mata pelajaran tersebut dalam Bahasa Inggeris.

Bagaimanapun, beliau menyatakan bahawa kerajaan pusat tidak menyediakan peruntukan untuk program PPSMI di Sarawak.

"Kami membelanjakan hampir RM10 juta untuk membangunkan modul itu, mencetak buku teks dan buku kerja, melatih guru dan memberikan bahan sokongan kepada mereka,” katanya.

Kata Annuar, Sarawak memilih untuk memperkenalkan semula PPSMI untuk kepentingan negeri dan juga rakyatnya.

Ramai graduan tempatan mendapatkan pekerjaan di sektor swasta disebabkan penguasaan bahasa Inggeris mereka yang lemah, ini zaman teknologi, Revolusi Industri 4.0, penguasaan bahasa Inggeris bukan satu pilihan.

“Suka atau tidak, bahasa Inggeris ialah bahasa perantaraan pengetahuan dan jika kita tidak dapat menguasainya, bagaimana kita hendak bersaing?” katanya.

Berhubung UEC, Annuar berkata Sarawak akan tetap berpegang pada keputusannya untuk mengiktiraf UEC bagi permohonan biasiswa yang ditaja oleh kerajaan negeri dan untuk pekerjaan dengan kerajaan negeri kerana ia memberi manfaat kepada negeri dan rakyatnya.

"Apabila berkaitan hak Sarawak, autonomi dari segi apa yang negeri mahu bagi pendidikan sangat penting. Kami ialah negeri yang kaya dengan sumber alam semula jadi dan untuk memanfaatkannya, kami memerlukan bakat dan teknologi canggih.

“Jika kita tidak mempersiapkan rakyat kita untuk memiliki pengetahuan dan menguasai teknologi, kita perlu bergantung kepada orang asing dan ini tidak baik untuk negeri serta rakyat. Kami tidak mahu mereka ketinggalan,” katanya sambil menambah bahawa pendidikan tidak boleh dipolitikkan.

Kata Annuar, UEC berperanan dalam mengembangkan sumber daya manusia, dan pelajar tidak seharusnya dibeza-bezakan berdasarkan latar belakang pendidikan mereka.

"Bagi orang Sarawak, apa yang penting ialah mereka mahu menyumbang kembali kepada negeri dan negara. Kita tidak patut menafikan peluang mereka untuk berbuat demikian,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS