Kira-kira 500 penduduk berhampiran pekan Dengkil di Sepang terpaksa dipindahkan ke tiga pusat pemindahan sementara (PPS) sejak awal hari ini selepas kediaman mereka dilanda banjir susulan limpahan air sungai berdekatan dan kejadian ban pecah akibat hujan lebat malam tadi.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri Dengkil Adhif Syan Abdullah yang memaklumkan perkara itu, mereka yang merangkumi penduduk di 12 kampung dan kawasan perumahan dipindahkan ke Dewan Orang Ramai Dengkil, Sekolah Rendah Agama Dengkil dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Dengkil.
“Masih ada penduduk belum dibawa keluar dari kawasan banjir dan pasukan penyelamat sedang dalam proses berbuat demikian,” katanya yang ditemui semasa melawat mangsa banjir di PPS terbabit hari ini.
Menurutnya hujan lebat malam tadi menyebabkan limpahan air di loji Semenyih 2 yang mengakibatkan ban pecah pada 1 pagi tadi kerana tidak mampu menampung kapasiti air.
Sementara itu, mangsa banjir, Noraini Abdul Latiff, 40, berkata dia sekeluarga dikejutkan oleh jiran yang memaklumkan paras air semakin naik di kawasan perumahan mereka pada 2 pagi tadi.
"Mula-mula air naik sedikit di bahagian dapur. Kemudian pada 4 pagi, air semakin deras sehingga naik ke paras pinggang. Kita sempat selamatkan barangan elektrik sebelum bomba datang untuk membawa saya dan tiga anak keluar dari rumah," katanya yang tinggal di Taman Timah.
Pada masa sama, wanita itu turut menghargai usaha pihak berkuasa yang memastikan pematuhan jarakan sosial membendung penularan Covid-19 dengan khemah disusun mengikut jarak selamat.
Seorang lagi mangsa banjir, Mohd Najib Mat Supi, 58 dari kampung Cemperai, pula berkata air naik terlalu cepat sehingga paras pinggang, menyebabkan dia terpaksa meredah banjir sementara menunggu ketibaan pasukan penyelamat.
- Bernama