Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kompleks mahkamah baru di Bertam menerusi RMK12

Kerajaan akan membina sebuah kompleks mahkamah baharu di Bertam di Kepala Batas menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) membabitkan peruntukan sebanyak RM30 juta.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Shabudin Yahya berkata pembinaan premis tersebut di kawasan seluas hampir sehektar itu dijangka bermula pada 2022 dan mengambil masa dua tahun.

"Mahkamah baharu ini akan memudahkan penduduk di kawasan ini dalam urusan mahkamah ... sebahagian kes boleh diuruskan di sini maka ia lebih mudah serta mempercepatkan proses perundangan," katanya kepada pemberita selepas melawat tapak mahkamah baharu itu bersama Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang Roziah Abudin dan Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Ahmad Terriruddin Mohd Salleh hari ini. Shahbudin, yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor, berkata kerajaan turut memperuntuk sejumlah RM27 juta untuk proses baik pulih bangunan dan membasmi anai-anai serta makhluk perosak sebuah blok Mahkamah Tinggi Pulau Pinang yang telah rosak dan uzur.

Beliau berkata pihaknya menjangkakan kerja-kerja baik pulih dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh dua hingga tiga tahun dan ketika ini, pengurusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang telah menyewa beberapa premis berhampiran bagi memastikan urusan perbicaraan serta perundangan tidak tertangguh serta berjalan lancar. 

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS