Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
5,000 CCTV bakal jadikan KL bandar lebih selamat - Annuar

Bagi menjadikan ibu negara sebagai sebuah bandar yang lebih selamat dan kondusif untuk membeli-belah, Kementerian Wilayah Persekutuan bercadang menambah sehingga 5,000 kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan strategik.

Menteri berkenaan Tan Sri Annuar Musa berkata pihaknya telah meminta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menjalin kerjasama dengan pihak swasta terutama pemaju dalam pemasangan kamera terbabit.

"(Kita) Mungkin memasukkan syarat, antara lain, memasang kamera keselamatan bukan hanya dalam bangunan tetapi persekitaran bangunan untuk menyokong usaha kerajaan menambah pemasangan kamera litar dan keselamatan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Jualan Mega dan Kempen Beli Barangan Malaysia peringkat kebangsaan yang dilancarkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Suria KLCC di Kuala Lumpur hari ini.

Annuar berkata ketika ini, hanya beberapa ratus CCTV beroperasi di kawasan strategik di ibu negara dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia.

Beliau berkata pihaknya juga akan berbincang dengan Ketua Polis Kuala Lumpur mengenai langkah bersama yang perlu diambil bagi memastikan tahap keselamatan di ibu negara lebih terjamin.

"Segala usaha akan terus kita lakukan untuk menjaga, terutamanya Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, sebagai pusat membeli-belah yang utama dalam negara kita.

“Sudah tentu Kuala Lumpur perlu mempersiapkan diri untuk menjadi sebuah bandar yang lebih kondusif kepada pelancong serta peniaga… (lokasi) lebih selamat dan menarik,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS