Exco Pulau Pinang, Chong Eng menggesa kerajaan Terengganu mempertimbangkan semula langkah mengasingkan jantina di pusat-pusat hiburan.
Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Wanita DAP itu berpendapat pengasingan sedemikian tidak akan membendung keganasan berasaskan jantina dan akan menyebabkan stereotaip yang tidak sihat antara lelaki dan wanita.
“Berdasarkan kajian dari Universiti California, pengasingan jantina antara lelaki dan wanita sebagai langkah perlindungan akan menyebabkan stereotaip jantina yang akan menyumbang kepada keganasan seksual dalam masyarakat.
"Jaringan Pakar Undang-undang Eropah dalam Bidang Kesaksamaan Jantina menunjukkan pada peringkat fundamental, pengasingan akan mengakibatkan keganasan jantina yang juga akan mewujudkan budaya salahkan mangsa dan menjadikan semua lelaki sebagai ancaman kepada wanita,” katanya.
Keganasan berasaskan jantina merujuk kepada keganasan yang dilakukan terhadap seseorang kerana jantina mereka.
Takrifan itu juga merangkumi keganasan rumah tangga, serangan seksual dan khatan terhadap kanak-kanak perempuan.
Ia juga boleh terjadi secara fizikal, seksual, psikologi dan emosi.
Berbanding pengasingan jantina, Chong mencadangkan Terengganu melaksanakan Dasar Keterangkuman Gender seperti yang dilaksanakan di Pulau Pinang.
“Dasar pengasingan jantina merupakan halangan yang akan menghalang negara kita mencapai kesetaraan dan keterangkuman gender.
“Saya cadangkan pembangungan pendekatan sensitif-gender untuk menangani keganasan berasaskan jantina dan bukannya langkah-langkah perlindungan yang memperkuatkan stereotaip jantina dalam masyarakat, ”katanya.
Dilancarkan tahun lalu, antara matlamat Dasar Keterangkuman Gender adalah memastikan penglibatan wanita sebanyak 40 peratus dalam membuat keputusan bagi kerajaan, agensi dan jabatan negeri.
Hal ini untuk mengelakkan hanya satu jantina mendominasi proses membuat keputusan tersebut.
Langkah kerajaan Terengganu mengasingkan jantina baru-baru menjadi bualan selepas pawagam di negeri yang diterajui kerajaan PAS itu mengasingkan lelaki dan wanita bermula Julai ini.
Setiausaha Agung DAP, Nga Kor Ming sebelum ini menggesa Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya menilai kembali polisi yang dilihat akan memberi kesan terhadap budaya, kebebasan dan hak rakyat di negeri tersebut.
Awal tahun ini, Wanita MCA turut menyifatkan polisi tersebut sebagai ekstrim dan berunsur diskriminasi.