mk-logo
Berita
Selesai tuntutan wilayah dengan 'rundingan mesra' dua hala - Kedutaan China

China bersedia bekerjasama dengan Malaysia untuk menyelesaikan pertikaian tuntutan wilayah di antara kedua-dua negara di Laut China Selatan, kata kedutaannya di Kuala Lumpur.

Jurucakap kedutaan China di Malaysia, Tang Tang berkata demikian dalam satu kenyataan semalam sebagai maklum balas terhadap laporan Malaysiakini bahawa pengawal pantai China tetap mempertahankan kehadirannya di Beting Patinggi Ali, yang juga dikenal sebagai Luconia Shoals.

"China sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan Malaysia dalam memperkukuhkan kepercayaan antara kami, dan untuk terus menyelesaikan isu-isu yang relevan melalui perundingan mesra dua hala.

“Ia merupakan harapan kami supaya kedua-dua belah pihak dapat bekerjasama sepenuhnya dalam melaksanakan Deklarasi Tata Laku dan mendorong perundingan mengenai tata laku, untuk menjaga keamanan dan kestabilan di Laut China Selatan," katanya.

Deklarasi Tata Laku Pihak Berkepentingan di Laut China Selatan (DOC) adalah perjanjian tidak mengikat yang ditandatangani pada tahun 2002 antara negara-negara Asean dan China.

Dokumen tersebut meminta pihak-pihak berkepentingan untuk mengawal diri daripada melakukan kegiatan yang boleh "menyulitkan atau meningkatkan" ketegangan berhubung pertikaian wilayah di Laut China Selatan dan juga melaksanakan kod tata laku.

Pada 2019, China telah menyatakan keyakinan bahawa perundingan mengenai Kod Tata Laku dapat diselesaikan dalam masa tiga tahun.

'Tangani dengan dialog'

Dalam kenyataannya semalam, Tang berkata Malaysia dan China telah menangani perselisihan tersebut dengan betul melalui dialog dan perundingan.

Semalam, Malaysiakini melaporkan kapal pasukan pengawal pantai China kekal terus berada di kawasan perairan berhampiran Beting Patinggi Ali.

Kawasan itu, yang dikenali sebagai Luconia Shoals di peringkat antarabangsa, mempunyai terumbu serta sebuah pulau kecil yang terletak kira-kira 100km dari pantai Sarawak dan kira-kira 1,600km dari tanah besar China.

Malaysia menganggap perairan tersebut sebagai sebahagian dari zon ekonomi eksklusifnya, manakala China mendakwa negaranya memiliki hak bersejarah di kawasan itu, serta sebahagian besar Laut China Selatan.

Banyak tuntutan China telah dipertikaikan oleh negara lain termasuk Malaysia dan tuntutan tersebut tidak diperakui di peringkat antarabangsa.

Laporan Ketua Audit Negara mengatakan CCG dan Angkatan Laut Tentera Pembebasan Rakyat China (Plan) telah menceroboh perairan Malaysia sebanyak 89 kali antara 2016 dan 2019, terutama di Beting Patinggi Ali.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS