Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PDRM akan teliti tuntutan saman keluarga arwah Adib

Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedia meneliti tuntutan saman yang akan difailkan keluarga Allahyarham Muhamad Adib Mohd Kassim bagi menuntut ganti rugi berhubung insiden yang menyebabkan kematian anggota bomba itu.

Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador, memberitahu Bernama hari ini, pihaknya akan tunggu dan lihat dahulu apa yang terkandung dalam saman berkenaan.

Beliau turut menyatakan kesediaan untuk menerima tindakan sivil daripada mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan hasil siasatan polis berhubung kematian Muhammad Adib.

Hari ini, media melaporkan keluarga Muhammad Adib mahu mengambil tindakan saman sivil terhadap pasukan PDRM bagi menuntut ganti rugi berhubung insiden yang menyebabkan kematian anggota bomba itu.

Keluarga Muhammad Adib juga dilaporkan mahu menuntut ganti rugi kerana kecewa dan tidak berpuas hati dengan kenyataan yang dikeluarkan Abdul Hamid sebelum ini.

Isnin lalu, Abdul Hamid dalam satu kenyataan, menyangkal dakwaan tidak menghormati dan mengeluarkan kenyataan bercanggah dengan keputusan mahkamah koroner berhubung kes kematian Muhammad Adib.

Abdul Hamid menegaskan sehingga kini, tiada saksi yang benar-benar dapat menyatakan telah melihat Allahyarham Muhammad Adib dipukul semasa rusuhan dan kesemua keterangan yang diperoleh adalah bersifat dengar cakap serta berupa pendapat.

Beliau berkata sehingga kini, kes Allahyarham Muhammad Adib tidak pernah ditutup masih diteruskan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Muhammad Adib, 24, yang bertugas sebagai anggota bantuan kecemasan Jabatan Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, mengalami kecederaan parah dalam rusuhan berkaitan Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 Nov 2018 dan meninggal dunia di Institut Jantung Negara selepas 21 hari menerima rawatan.

Pada 27 Sept tahun lepas, Mahkamah Koroner Shah Alam memutuskan kematian Muhammad Adib adalah akibat perbuatan jenayah yang dilakukan lebih dua atau tiga individu tidak diketahui.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS