Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN | Tanggal 16 Julai merupakan suatu yang bersejarah kepada negara khususnya kepada Parlimen Malaysia. Ini kerana pada tarikh ini bukan sahaja Mohamad Ariff Md Yusof telah mengangkat sumpah sebagai yang dipertua Dewan Rakyat yang kesembilan tetapi juga menandakan bermulanya pelaksanaan agenda reformasi parlimen badan perundangan tertinggi negara tersebut.

Ramai yang menunggu dan memerhatikan sama ada dari dekat atau jauh baik dalam negeri mahupun luar negara akan keberhasilan usaha pembaharuan dan penambaikan yang bersandarkan kepada Buku Harapan yang telah diiltizamkan oleh Kerajaan Persekutuan Pakatan Harapan pada ketika itu.

Kini, sudah genap dua tahun agenda reformasi parlimen dilaksanakan di bawah kepimpinan Mohamad Ariff. Benar, segala program reformasi parlimen yang digerakkan adalah berpaksikan kepada Janji 16 Buku Harapan tersebut iaitu di bawah tekad untuk mengembalikan wibawa institusi parlimen.

Kad laporan prestasi beliau sebagai yang dipertua Dewan Rakyat juga telah dikeluarkan dan ditularkan.

Antara reformasi besar dan konkrit yang telah berjaya direalisasikan oleh Parlimen Malaysia adalah menubuhkan sebanyak 10 jawatankuasa pilihan khas parlimen yang bertujuan untuk mengawal selia dan sebagai semak dan imbang terhadap pelaksanaan dasar setiap kementerian (eksekutif).

Tidak dinafikan bahawa kebanyakan daripada jawatankuasa pilihan khas parlimen tersebut sangat aktif mengadakan mesyuarat dan perbincangan malahan turun ke lapangan menganjurkan sesi town hall atau libat urus serta menerbitkan laporan jawatankuasa untuk dibentangkan dalam sidang Dewan.

Antara jawatankuasa yang terlibat adalah Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Bagi Menimbang Rang Undang-Undang yang dipengerusikan oleh Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh ketika mana dipertanggungjawabkan untuk mendapatkan maklum balas mengenai Rang undang-undang Suruhanjaya Bebas Aduan Salah Laku Polis (‘IPCMC’) 2019.

Kedua adalah pembentukan suatu kumpulan yang disebut sebagai Kumpulan Rentas Parti Parlimen (APPG) yang berfungsi untuk menggarap penglibatan masyarakat awam termasuk organisasi masyarakat sivil (CSO) dalam proses penggubalan dan pelaksanaan dasar dan program kerajaan di peringkat mikro.

Tiga APPG dibentuk

Setakat hari ini, terdapat tiga APPG yang telah dibentuk malah telah pun mula beroperasi di beberapa kawasan parlimen iaitu APPG bagi Matlamat Pembangunan Lestari (SDG), Pelarian dan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI).

Satu lagi entiti yang tidak kurang penting adalah Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus yang diketuai oleh ketua pembangkang pada ketika ini yang juga merupakan ahli parlimen Port Dickson, Anwar Ibrahim selain daripada Kaukus Ahli Parlimen Muda yang dipengerusikan oleh ahli parlimen Kangar, Noor Amin Ahmad.

Ketiga dan yang paling sentral adalah mewujudkan Suruhanjaya Parlimen Malaysia melalui pengenalan semula Akta Perkhidmatan Parlimen 1963.

Walaupun belum dapat dimaterialisasikan sepenuhnya kerana kekangan birokrasi, Parlimen Malaysia telah berjaya menyiapkan Rang undang-undang Suruhanjaya Parlimen Malaysia untuk dihantar ke Jabatan Peguam Negara bagi peringkat seterusnya.

Agenda ini adalah amat penting dan relevan bagi memastikan Parlimen sebagai badan legislatif benar-benar bebas daripada campur tangan Eksekutif dalam kerangka doktrin pengasingan kuasa.

Bagaimanapun, harus diambil maklum bahawa usaha reformasi parlimen yang diterajui oleh Mohamad Ariff bukanlah hanya tertakluk kepada ruang lingkup Buku Harapan semata-mata.

Malah jika ditelusuri kad laporan prestasi beliau tersebut, sebahagian lagi program reformasi yang telah dilaksanakan adalah dipacu sendiri oleh beliau sebagai yang dipertua Dewan Rakyat.

Sejak diamanahkan sebagai yang dipertua Dewan Rakyat, jumlah pelawat di Parlimen Malaysia telah meningkat dua kali ganda iaitu seramai 61,316 orang berbanding 36,997 orang pada tahun 2016 dan 2017.

Beliau turut membawa institusi parlimen terus kepada rakyat melalui inisiatif atau dasar “merakyatkan institusi Parlimen”.

Ini dibuktikan melalui kunjungan hormat yang telah dibuat terhadap beliau oleh 31 buah badan bukan kerajaan (NGO) , CSO, agensi kerajaan dan institusi pengajian tinggi (IPT) serta sejumlah 42 program yang dianjurkan dengan kerjasama Parlimen Malaysia di dalam kawasan Parlimen sendiri.

Siri Syarahan Yang Dipertua (Speaker’s Lecture Series) yang pertama seumpamanya di negara ini turut diperkenalkan bagi mendekatkan parlimen dengan masyarakat.

Jika sebelum PRU-14 yang lalu parlimen adalah sebuah “kubu” yang tertutup hanya untuk elit politik sahaja, tetapi di bawah teraju Mohamad Ariff, parlimen telah berubah wajah menjadi “rumah” rakyat yang terbuka luas kerana beliau percaya bahawa parlimen adalah tempat paling tinggi untuk membincangkan isu rakyat dan rakyat harus mempunyai “akses” terhadapnya.

Turun sampai ke sekolah

Bagi memastikan kewujudan dan peranan Parlimen dirasai di peringkat akar umbi dan generasi muda, yang dipertua Dewan Rakyat kesembilan tersebut juga tidak canggung untuk turun ke bawah menyantuni bukan sahaja mahasiswa-mahasiswi IPT tetapi juga pelajar-pelajar sekolah.

UM, UKM, UIA, KUIS, SMK Taman Forest Heights, Seremban dan Sekolah Menengah Sains Tapah adalah antara IPT dan sekolah yang telah disantuni oleh beliau sepanjang dua tahun berkhidmat.

Inisiatif ini juga jelas mendapat sambutan dan maklum balas yang sangat menggalakkan daripada kalangan masyarakat.

Dalam memperkasakan diplomasi peringkat kedua negara iaitu diplomasi parlimen, Mohamad Ariff juga telah memacu penambahan jumlah Kumpulan Persahabatan Parlimen Malaysia (Parliamentary Friendship Group) dengan parlimen dunia termasuk Kesatuan Eropah.

Peranan diplomasi parlimen ini sangat membantu untuk memperkuatkan hubungan dua hala serta perdagangan antarabangsa.

Sebagai contoh, isu pemboikotan minyak kelapa sawit Malaysia oleh Kesatuan Eropah dan India sebelum ini telah berjaya diredakan melalui forum perbincangan yang dimudahcarakan oleh Parlimen Malaysia antara Kumpulan Persahabatan Parlimen dan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Mengenai Hubungan dan Perdagangan Antarabangsa yang diketuai oleh ahli parlimen Subang, Wong Chen dengan ahli-ahli parlimen Jerman dan India.

Sehingga penulisan ini dibuat, terdapat sebanyak 39 buah Kumpulan Persahabatan Parlimen Malaysia telah diwujudkan.

Bidang pendidikan tidak pernah lenyap daripada diri yang dipertua Dewan Rakyat yang kesembilan ini.

Ia tidak menghairankan memandangkan beliau juga adalah mantan pensyarah di Universiti Malaya.

Untuk memastikan pendidikan yang berterusan terhadap ahli-ahli parlimen, Parlimen Malaysia di bawah pentadbiran beliau telah banyak melaksanakan banyak program dan aktiviti advokasi dan latihan di samping menguruskan lawatan sambil belajar di beberapa parlimen di dunia termasuk House of Commons (United Kingdom), Bundestag (Jerman) dan Stortinget (Norway).

Matlamat untuk melahirkan generasi ahli-ahli parlimen baru Malaysia juga tidak diketepikan.

Ini dapat dilihat melalui komitmen Parlimen Malaysia di era beliau memberikan ruang bagi penganjuran program-program mengasah bakat perbahasan ala parlimen di kalangan anak muda seperti Debaton Parlimen dengan kerjasama KiniTV dan Simulasi Debat Parlimen bagi inisiatif Malaysia Future Leaders School di bawah Kementerian Belia dan Sukan malah Mohamad Ariff sendiri mempengerusikan kedua-dua sidang tersebut!

Tarik anak muda 16 tahun

Menarik lagi, program-program di atas turut menarik minat anak muda berusia 16 tahun!

Kemuncak usaha pendidikan beliau mengenai institusi parlimen ini adalah dengan menerbitkan sebuah manual ringkas tentang Tatacara Parlimen Malaysia dan juga apa yang disebut sebagai “Erskine May” (baca: rujukan utama) pertama mengenai Parlimen Malaysia iaitu undang-undang, prinsip dan amalan di Dalam Dewan Rakyat Malaysia setelah lebih lima dekad buku pertama mengenainya telah diterbitkan pada tahun 1969.

Kedua-dua naskhah ini juga ada diterbitkan dalam versi bahasa Inggeris dan diniatkan sebagai menambahkan lagi koleksi kesusasteraan Parlimen Malaysia.

Yang terakhir yang belum sempat disempurnakan adalah pendidikan parlimen bagi IPT dan sekolah yang lebih berstruktur yang turut mendapat kerjasama daripada Oireachtas (Parlimen Ireland) melalui inisiatif Inter Pares (Parliaments in Partnership) di bawah kelolaan Kesatuan Eropah (EU).

Namun, draf sukatan pendidikan parlimen tersebut telah pun disiapkan jika ingin diteruskan oleh pentadbiran Parlimen Malaysia hari ini.

Jelasnya, tempoh dua tahun secara relatifnya adalah suatu tempoh yang agak singkat bagi melaksanakan sebarang bentuk perubahan dan pembaharuan dalam negara.

Walaupun begitu, sebahagian besar daripada agenda reformasi parlimen itu sendiri berjaya dilaksanakan dengan penuh signifikan dan berkesan oleh Mohamad Ariff Md Yusof.

Ya, tempoh perkhidmatan beliau sebagai Yang di-Pertua Dewan Rakyat kesembilan mungkin antara yang paling pendek, namun Parlimen Malaysia yang sebelum ini dianggap sebagai jabatan kerajaan yang paling selesa dan relaks kini sepatutnya sudah berganjak menjadi antara institusi rakyat yang paling sibuk memartabatkan urusan rakyat dan sudah semestinya legasi yang beliau tinggalkan ini akan kekal berpanjangan ke hadapan.

Terima kasih atas khidmat bakti kepada negara dan rakyat Tan Sri Mohamad Ariff.


WAN ANWAR WAN IBRAHIM ialah pegawai tugas-tugas khas kepada yang dipertua Dewan Rakyat kesembilan Parlimen Malaysia.

Tulisan ini sempena dua tahun majlis angkat sumpah jawatan yang dipertua Dewan Rakyat kesembilan Mohamad Ariff Md Yusof. Ia tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS