Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Kenapa perlu kempen kotor?' - Bekas CEO PNB pertahan ijazah LSE
Diterbitkan:  Jul 17, 2020 8:39 PM
Dikemaskini: 12:40 PM

Bekas Ketua Eksekutif Permodalan Nasional Berhad (PNB) Jalil Rasheed mempersoalkan 'kempen kotor' berhubung kelayakan akademiknya dan menggesa kerajaan menumpukan perkara lebih penting.

Semalam Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menerusi sesi soal jawab di Parlimen berkata London School of Economics and Political Sciences (LSE) mengesahkan terdapat perkara “tidak konsisten” berhubung ijazah dimiliki Jalil.

Muhyiddin berkata, Jalil, 38, meletakkan jawatannya selepas Suruhanjaya Sekuriti meminta penjelasan daripada PNB mengenai isu tersebut.

Menerusi beberapa siri ciapan di Twitter hari ini, Jalil menjelaskan dirinya merupakan “pelajar luar” dari LSE yang bermaksud beliau menjalani kuliah dari luar kampus.

“Itu adalah fakta yang diketahui semua pekerja dan kawan,” katanya.

Jalil turut mengulangi sebab beliau melepaskan jawatan PNB adalah untuk tidak 'berperang dengan hati nuraninya sendiri' dan bukan mengenai soal ijazahnya.

“Saya letak jawatan sebab saya tak suka perkara yang berlaku sekarang. Jika orang tidak suka saya kembali, boleh bagitahu saja (tiada yang cakap secara terang) dan saya pasti akan letak jawatan. Senang.

“Semua ini tak perlu. Setakat apa yang saya tahu, dah selesai,” katanya.

Mengulas lanjut, Jalil berharap kerajaan akan meneruskan misi untuk membawa sikap professional dalam PNB dan bukannya sasarkan kakitangan.

“Mungkin kita boleh fokuskan isu utama daripada mensasarkan CEO yang sudah letak jawatan. Tolonglah bergerak ke hadapan. Saya sudah,” ciapnya.

Jalil melepaskan jawatannya bulan lalu, sembilan bulan selepas beliau dilantik sebagai ketua eksekutif termuda di syarikat pengurusan dana milik kerajaan itu.

Peletakan jawatannya membangkitkan persoalan sama ada kerajaan Perikatan Nasional (PN) benar-benar menghargai anak muda yang berbakat.

Ketua Eksekutif PNB yang baru kini ialah bekas timbalan pengarah urusan Khazanah Nasional Bhd (Khazanah), Ahmad Zulqarnain Onn. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS