Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Covid-19: KKM kenal pasti empat kluster baru
Diterbitkan:  Jul 17, 2020 5:58 PM
Dikemaskini: 9:58 AM

Empat lagi kluster baru jangkitan Covid-19 berjaya dikesan hari ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham.

Kluster berkenaan dinamakan sebagai UI Pitakwa, PUI Shirala, Pusat Perubatan Kuching dan Jupiter.

Dalam kes kluster PUI Pitakwa, katanya, seorang warga negara Malaysia yang pulang Nigeria yang dimasukkan ke Hospital Hulu Terengganu kerana mengalami gejala yang teruk.

Dia didapati telah mempunyai kontak rapat dengan 44 orang termasuk ahli keluarga, penumpang dan krew kapal terbang, pemandu teksi serta rakan sekerja.

“Daripada jumlah ini: dua dikesan positif Covid-19, tiga negatif; dan 39 masih menunggu keputusan,” katanya dalam satu kenyataan.

Kluster PUI Shirala pula membabitkan seorang bukan warga negara golongan professional yang telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.

Kata Dr Noor Hisham, setakat ini, dua kontak rapat telah dikenalpasti di mana satu (1) kes dikesan positif dan seorang lagi adalah negatif.

Kluster Pusat Perubatan Kuching pula merupakan seorang warganegara Malaysia yang telah menjalani saringan Covid-19 kerana beliau berisiko tinggi iaitu petugas kesihatan barisan hadapan.

“Beliau kemudiannya telah dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak. Setakat ini, satu kes dikesan positif daripada 26 kontak rapat telah dikenalpasti termasuk ahli keluarga dan rakan sekerja. Manakala yang lain adalah negatif,” katanya.

Kluster Jupiter pula membabitkan seorang bukan warganegara yang adalah seorang krew sebuah kapal yang berlayar dan mempunyai sejarah perjalanan ke Jepun dan Singapura.

Beliau mula mengalami gejala pada 3 Julai dan gejala menjadi semakin teruk pada 11 Julai 2020 di perairan Sarawak.

“Beliau telah dimasukkan ke pusat perubatan dan saringan Covid-19 didapati positif. Beliau kemudiannya dipindahkan ke Hospital Bintulu,Sarawak.

“Susulan itu, 29 kontak rapat telah dikenalpastidi dalam kapal tersebutdi mana kesemuanya adalah merupakan krew kapal. Daripada jumlah itu, dua dikesan positif manakala 27 lagi negatif," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, kluster ini adalah kluster import yang terpencil.

Beliau berkata, masyarakat sekeliling sememangnya tidak terdedah kepada krew kapal itu  namun kes yang memerlukan rawatan akan segera dibawa ke pusat perubatan dan hospital.

“Saringan dan siasatan selanjutnya sedang diteruskan bagi keempat-empat klusterini. Maklumat terkini akan dimaklumkan dari masa ke masa,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS