Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kelulusan Penjana dipercepat dari 3 bulan ke 3 minggu

Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) akan memastikan proses dan tempoh kelulusan pembiayaan di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) dipercepatkan.

Pengerusinya, Tan Sri Noh Omar berkata tempoh kelulusan itu dipendekkan daripada tiga bulan kepada tiga minggu untuk membolehkan usahawan yang terkesan akibat pandemik COVID-19 menerima manfaat dan memastikan kelangsungan perniagaan mereka.

Katanya PUNB akan memberikan pembiayaan bermula daripada RM100,000 hingga RM1 juta mengikut saiz syarikat.

“Tempoh yang dipercepatkan itu untuk usahawan yang berada di bawah PUNB dan prosedur perlu diubah dan tidak boleh sama seperti usahawan yang memohon pembiayaan baharu,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Serah Terima Tugas Pengerusi PUNB dan Sambutan Ulang Tahun PUNB Ke-29 di sini.

Terdahulu, Noh menerima nota serah tugas sebagai pengerusi PUNB keenam daripada mantan pengerusi Datuk Hazimah Zainuddin hari ini.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini berkata dalam usaha memperkasakan pembabitan Bumiputera dan memastikan kelangsungan dalam bidang perniagaan dan keusahawanan, pembiayaan sebanyak RM200 juta akan ditawarkan melalui PUNB.

Sementara itu, Noh bercadang agar sektor pembiayaan yang ditawarkan setakat ini diperluaskan supaya lebih banyak perniagaan boleh memohon dengan PUNB.

Beliau berkata PUNB akan memfokuskan kepada industri perniagaan lain seperti industri kecil dan sederhana yang berpotensi untuk dikomersialkan dan dipasarkan ke peringkat lebih tinggi.

Sehingga Jun 2020, PUNB telah memberi pembiayaan kepada 11,200 usahawan melibatkan 7,841 syarikat dengan jumlah sebanyak RM3.29 bilion.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS