Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kumpulan belia Undi Saksama sokong pilihan raya tempatan
Diterbitkan:  Jul 17, 2020 4:10 PM
Dikemaskini: 8:10 AM

Kumpulan belia yang dikenali sebagai Undi Saksama menyokong cadangan untuk mengembalikan pilihan raya kerajaan tempatan.

Dalam satu kenyataan, mereka berkata pelaksanaan pilihan raya tempatan merupakan platform penting untuk meningkatkan perwakilan daripada golongan muda dalam politik dan memperkasakan masyarakat setempat.

"Kami menghargai sikap tegas yang diambil oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, berhubung bantahan terhadap cadangan tersebut yang ditunjukkan beberapa anggota parlimen.

"Kami meminta semua parti politik untuk menyokong langkah mengembalikan pilihan raya majlis tempatan,"kata Undi Saksama.

Undi Saksama adalah kempen yang dipimpin sekumpulan belia untuk menentang gerimander dan salah pembahagian (mallaportionment) dalam sistem pilihan raya di Malaysia.

"Demokrasi tempatan membentuk asas demokrasi perwakilan seperti Malaysia dan pendemokrasian pembuat keputusan tempatan membolehkan rakyat Malaysia meminta perubahan dalam komuniti mereka melalui wakil tempatan yang terpilih.

"Hak untuk memilih datuk bandar dan ahli majlis yang mewakili kepentingan pengundi secara langsung akan memperkasakan semua rakyat Malaysia.

"Pemilihan ahli majlis tempatan juga merupakan peluang penting bagi ahli politik muda untuk mendapatkan platform untuk berkhidmat kepada rakyat secara langsung," tambahnya.

Zuraida Isnin lalu berkata sewaktu di dalam kerajaan PH, tiada sesiapa dalam gabungan itu menyokong cadangannya berhubung pelaksanaan pilihan raya kerajaan tempatan, malah idea itu disanggah oleh bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata ia antara kajian yang perlu dilaksanakan dan sasarannya adalah pertengahan tahun 2021 untuk dibentangkan dan mendapatkan kelulusan kabinet.

Cadangan itu bagaimanapun mendapat bantahan daripada anggota parlimen dari kerajaan Perikatan Nasional seperti Umno, PAS dan GPS dengan mengatakan ia akan menjadi titik permulaan kepada perpecahan kaum di negara ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS