Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Teruskan ketelusan pengurusan program makanan bermasak di KPM
Diterbitkan:  Jul 17, 2020 1:34 PM
Dikemaskini: 5:34 AM

ULASAN | Pada 14 Julai 2020, Jabatan Audit Negara telah mengeluarkan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Siri 3 Tahun 2018.

Seperti semua sedia maklum, peruntukan yang disalurkan bagi program Bekalan Makanan Bermasak di Sekolah Asrama bagi tahun 2016 hingga 2018 berjumlah RM3.667 bilion.

RM3.667 bilion adalah jumlah yang banyak, diambil dari wang cukai rakyat untuk dipulangkan kepada rakyat. Walaubagaimanapun soal selidik audit bagi aspek tahap kepuasan pelanggan terhadap kualiti perkhidmatan BMB menunjukkan tahap ketidakpuasan hati yang masih belum mencapai objektif program BMB tahun 2016 hingga 2018.

Ketika kerajaan Pakatan Harapan (PH) masuk pada Mei 2018, saya selaku menteri pendidikan telah memulakan beberapa siri siasatan terhadap isu yang melibatkan tender Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) seperti Kebersihan Bangunan dan Kawasan (KBK), Kawalan Keselamatan (PKK) serta Bekalan Makanan Bermasak (BMB) ini. Kita dapati pihak KPM tidak membuat pengesahan salinan penyata bank yang dikemukakan petender dengan pihak bank sebelum Surat Setuju Terima (SST) dikeluarkan. Keadaan ini telah menyebabkan berlakunya pemalsuan penyata bank oleh petender.

Hasil siasatan tersebut, beberapa langkah pantas terpaksa diambil untuk menambah baik proses tender. Sebanyak 406 tender KBK, PKK dan BMB telah dibatalkan pada hujung 2018 melalui empat notis bertarikh 8 Ogos 2018, 21 September 2018 serta 5 Oktober 2018.

Laporan polis telah dibuat oleh setiausaha Bahagian Perolehan KPM pada 14 Ogos 2019 terhadap petender yang disahkan mengemukakan penyata bank palsu di ibu pejabat kontinjen polis Putrajaya.

Seperti dilaporkan di dalam LKAN, wakil bank juga menyatakan bahawa mereka tidak sanggup untuk membuat pengesahan penyata bank dengan jumlah yang banyak dalam tempoh masa yang singkat. Ini menunjukkan KPM ketika era Pakatan Harapan sangat serius menangani isu ini.

Semua usaha yang telah dilaksanakan ini menunjukkan komitmen kerajaan PH untuk menyelesaikan beban isu korupsi di era BN. Ini dibuktikan seperti di dalam graf di Rajah 3 Trend Prestasi Kontraktor Bagi Tahun 2016 Hingga 2018.

Ketika semua usaha ini dilakukan, saya sebagai menteri pendidikan pada ketika itu kerap kali dianggap mengganggu proses tender sedangkan usaha ini terpaksa dilakukan untuk memastikan proses tender yang selama ini dicemari dengan pelbagai korupsi dijalankan secara telus dan bersih.

Sebenarnya, lebih banyak masa diperlukan untuk memastikan keseluruhan ekosistem berkaitan tender KPM ini dibersihkan. Saya berharap kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengambil berat Laporan Ketua Audit Negara ini dan meneruskan semua inisiatif yang telah dilaksanakan oleh kerajaan sebelum ini.

Saya juga ingin menegaskan bahawa kerajaan dari tahun 2016 hingga 2018 adalah kerajaan BN, dan mereka yang ditegur di dalam Laporan Ketua Audit Negara 2018 Siri 3 ini terutamanya menteri pada ketika itu haruslah bertanggungjawab.

Saya amat yakin, rakyat tetap mengharapkan urus tadbir kerajaan dijalankan secara telus dan bersih dari segenap segi. Gangguan-gangguan oleh tangan-tangan jahat seperti yang telah dilaporkan bukan sahaja memberi kesan kepada imej kerajaan, tetapi juga kepada pendidikan anak-anak kita di sekolah.


DR MASZLEE MALIK ialah bekas menteri pendidikan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS