Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kes positif Covid-19 di Brazil kini melepasi dua juta

GLOBAL | Brazil pada Khamis melaporkan lebih dua juta kes Covid-19, pertambahan 45,403 kes baru dalam tempoh 24 jam dengan jumlah keseluruhan kini mencecah 2,012,151, lapor agensi berita Xinhua.

Menurut Kementerian Kesihatan negara itu, 1,322 kematian baru turut dicatatkan menjadikan jumlah keseluruhan 76,688.

Sementara itu, Amerika Syarikat (AS) menghampiri setengah juta kes baru setiap minggu, menurut laporan The Covid Tracking Project pada Khamis.

Pada minggu ini sahaja kira-kira 435,000 rakyat Amerika didiagnosis dengan virus itu, minggu keempat peningkatan yang tinggi dalam jumlah kes baru.

Sementara itu Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) AS mengumumkan Perintah Larangan Pelayaran untuk kapal persiaran dilanjutkan hingga 30 September.

Perintah itu melarang operasi kapal persiaran yang membawa sekurang-kurangnya 250 penumpang di perairan di bawah bidang kuasa AS.

Pada Khamis lalu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu turut mengeluarkan Pelan Tindak Balas Kemanusiaan Global Covid-19 yang sudah dikemas kini, menyaksikan AS$10.3 bilion diperlukan untuk membantu negara-negara mundur dalam menangani wabak maut itu.

Setiausaha Rendah untuk Hal Ehwal Kemanusiaan PBB Mark Lowcock yang melancarkan pelan baru itu, merayu negara-negara kaya membantu dengan menghulurkan lebih banyak sumbangan.

Gabenor New York Andrew Cuomo berkata "ketidakmampuan" kerajaan persekutuan dalam menguruskan krisis Covid-19 menyebabkan New York juga gagal, negeri itu yang pertama menjadi pusat penularan wabak di AS.

Di Israel jumlah kes aktif meningkat kepada 25,305 pada Khamis, tertinggi sejak wabak wabak mula menular pada akhir Februari.

Sementara itu, jumlah kes meningkat menjadi 46,059 penambahan sebanyak 1,871 kes baru, kenaikan harian kedua tertinggi sejak wabak mula dikesan.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS