Bekas menteri luar Anifah Aman membidas kenyataan Hishammuddin Hussein yang mendakwa bahawa tiada lagi pencerobohan dari kapal tentera China di kawasan perairan Malaysia di Laut China Selatan sejak kerajaan Perikatan Nasional (PN) berkuasa.
Bertentangan dengan kenyataan menteri luar itu, Anifah berkata, pada bulan April lalu, flotilla kapal perang China dikesan mengiringi kapal tinjauan (survey vessel) negara itu di kawasan perairan Malaysia.
“Saya terkejut dengan kenyataan menteri itu. Dia sama ada jahil atau cuba menafikan hakikat.
“Amat malang, dia bermain politik dengan kepentingan maritim dan strategik Malaysia.
Mengulas lanjut, Anifah dalam satu kenyataan berkata, beliau difahamkan kapal pengawal pantai China dikesan di Beting Patinggi Ali pada Mei, Jun dan Julai.
Anifah berkata, bahawa Malaysia, sebagai sebuah negara berdaulat yang memiliki wilayah maritim di Laut China Selatan, tidak seharusnya ragu-ragu menyatakan bantahan terhadap kegiatan tidak sah oleh kapal asing di zon maritimnya.
Malah, katanya, Wisma Putra pada 25 Jun dan 12 Julai telah mengeluarkan pernyataan menentang serangan drone dan peluru berpandu ke atas kerajaan Arab Saudi.
“Sudah tentu, bukan keterlaluan untuk menjangkakan kementerian setidak-tidaknya memanggil Duta Besar Republik China untuk menghadap dan meluahkan rasa tidak senang rakyat Malaysia berhubung aktiviti tidak sah yang dilakukan oleh kapal pengawal pantai China di kawasan laut Malaysia di Laut China Selatan," katanya.
“Malaysia juga tidak pernah mengiktiraf dakwaan China terhadap kawasan maritimnya di Laut China Selatan, dan kerajaan harus mempertahankan dan memastikan kepentingan maritim dan strategik Malaysia tidak tergugat.
"Gagal melakukan ini adalah mala petaka besar bagi negara," tegasnya.
Bekas ahli parlimen Kimanis itu berkata, dengan bersikap tegas dalam melindungi dan mempromosikan kepentingan maritim dan strategik Malaysia tidak bermaksud kerajaan perlu mengambil sikap untuk berkonfrontasi.
“Apa yang diperlukan adalah untuk memastikan proses undang-undang dan diplomatik dilakukan dengan penuh hormat dan mengikut undang-undang antarabangsa dan Konvensyen PBB 1982 tentang Undang-Undang Laut.
“Macam saya nyatakan sebelum ini, kita tidak boleh bersikap teragak-agak dalam mempertahankan hak dan kepentingan kita, dan kedudukan berprinsip yang konsisten akan menjadikan kita stabil dalam jangka panjang,,” katanya.
Hishammuddin semalam berkata hasil hubungan dua hala yang berjaya ditambah baik di antara kedua-dua negara sepanjang tempoh 100 hari sejak beliau dilantik memimpin Wisma Putra, membawa kepada pengakhiran pencerobohan kapal China di perairan negara.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai Laporan Ketua Audit Negara 2018 siri ketiga yang antara lain mendedahkan kapal pengawal pantai China dan tentera laut China dikesan menceroboh perairan negara sebanyak 89 kali dari 2016 hingga 2019.