Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Anjing berkaki 2 jadi inspirasi Ain dan suami selamatkan anjing terbiar

Sepasang suami isteri memecahkan stigma masyarakat Islam di Malaysia melalui usaha mereka menyelamatkan anjing terbiar yang memerlukan bantuan.

Nurul Ain Abdul Hamid, 28, dan suaminya Muhammad Razeef Che Samah 39, sudah biasa dengan kehadiran anjing di sekeliling mereka, memandangkan sejak kecil keluarga mereka membela anjing untuk mengawal kebun.

Namun titik permulaan mereka - yang menetap di Shah Alam - sebagai penyelamat anjing terbiar merupakan seekor anjing kecil bernama Marvela.

Menurut Nurul Ain yang merupakan peniaga atas talian sepenuh masa, ia bermula pada 2018 apabila seorang bekas pekerja menghubunginya berkenaan seekor anjing liar yang cedera teruk, dipercayai akibat dianiaya.

Ketika itu, pasangan tersebut telah pun lima tahun menguruskan SI Home Shelter, pusat perlindungan kucing terbiar di Taman Sri Muda, Shah Alam.

Oleh kerana tiada pengalaman menjaga anjing jalanan, dia membuat hantaran di Facebook untuk meminta bantuan.

Namun, hantaran itu tidak mendapat respons. Akhirnya Nurul Ain membuat keputusan untuk menjaganya sendiri.

“Semasa saya dan suami menjumpai Marvela, dia masih ada kedua-dua kaki depan, tetapi lumpuh. Jadi, saya membawa anjing tersebut berjumpa doktor haiwan dan diberitahu kaki depannya sudah tidak berfungsi.

“Doktor sarankan kaki Marvela dibiarkan namun kakinya semakin teruk sehingga mengakibatkan jangkitan dan nanah,” kata Nurul Ain.

Walaupun Marvela dapat diselamatkan, kedua-dua kaki depannya terpaksa dipotong. Bagaimanapun ia tidak memadamkan semangat Marvela untuk sembuh dan terus hidup.

Semangat cekal anjing ini mendapat perhatian pasangan selebriti Harith Iskander serta isterinya Dr Jezamine Lim yang apabila mereka mengambil Marvela untuk dijaga, yang tular baru-baru ini.

Sejak mengambil Marvela, SI Home Shelter telah menyelamatkan 10 ekor anjing, selain 400 ekor kucing yang memang sudah dijaga pusat perlindungan tersebut.

Kos penjagaan haiwan-haiwan ini berjumlah RM15,000 sebulan, merangkumi sewa bulanan pusat perlindungan, barang keperluan haiwan seperti pasir, makanan dan perubatan serta gaji untuk empat pekerja.

Selain menggunakan wang sendiri, kos tersebut juga ditampung oleh sumbangan orang awam melalui laman Facebook SI Shelter dan akaun Instagram Nurul Ain.

'Isu sensitif'

Nurul Ain akui bahawa usahanya menyelamatkan anjing terbiar adalah isu yang sensitif di kalangan masyarakat Islam di Malaysia, yang berpegang kepada mazhab fekah yang melarang memegang anjing secara sembarangan.

“Bila saya jaga anjing, orang akan memandang rendah dan pandang serong, ada yang mencaci tapi bagi saya, semuanya bergantung kepada niat.

“Saya bukan pegang anjing saja-saja dan mengambil gambar kemudian memuat naik di media sosial. Ini untuk mengelakkan fitnah dan kecaman.

“Saya selamatkan anjing bila terjumpa sahaja dan memulihkan serta memberi perlindungan kepada mereka,” katanya.

Nurul Ain berkata, semua anjing terbiar di pusat jagaannya diambil setelah menerima aduan dari pihak awam dan, menurutnya lagi, ia adalah sesuatu yang sudah tertulis.

“Saya bukan sukarela pergi mencari anjing yang sakit, memang kebetulan terjumpa,” katanya.

Malah, usaha menyelamatkan anjing ini bukan asing buat dirinya kerana anjing pertama dalam hidupnya adalah yang diselamatkan bapanya, dan kemudian dijaaga untuk menjadi penjaga di kebun mereka.

Nurul Ain juga berkata tiada masalah untuk menjamin kebersihan, misalnya ritual sertu setelah memegang anjing, kerana dia menggunakan sabun tanah liat yang dijual di pasaran dan disahkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sendiri.

Haiwan yang tak bersalah

Sepanjang pengalamannya menyelamatkan haiwan, dia melihat insiden penganiayaan bintang melibatkan pelbagai komuniti tidak mengira kaum dan agama.

Namun, disebabkan stigma terhadap anjing di kalangan masyarakat Melayu, wujudnya pemikiran negatif terhadap haiwan tersebut yang membawa kepada penganiayaan terhadap mereka.

"Terdapat pelbagai kes yang dilaporkan di mana anjing terbiar dibunuh secara kejam seperti diletakkan racun dalam makanan kerana haiwan itu tidak diterima di kawasan perumahan.

“Kadangkala saya lihat aduan di Facebook mengenai anjing berkeliaran di sekitar kawasan perumahan dan cubaan untuk meracun mereka - dan kenyataan itu disokong oleh sesetengah pihak," katanya lagi.

Nurul Ain berkata larangan menyentuh anjing bukan alasan untuk menyeksa haiwan tersebut.

“Anjing juga merupakan makhluk ciptaan Allah dan di sisi Islam juga, pelbagai pengajaran yang membabitkan anjing.

“Misalnya, cerita mengenai seorang pelacur yang memberi air kepada seekor anjing terbiar yang kehausan dan dikurniakan syurga paling tinggi atas kebaikan itu,” katanya lagi.

Ajaran sebeginilah yang menjadi inspirasi buat Nurul Ain untuk meneruskan usaha menyelamatkan anjing-anjing tersebut walaupun dikecam masyarakat.

“Dalam Islam, kita sering dinasihatkan untuk sentiasa berbuat baik kepada binatang, untuk memiliki sifat belas kasihan, jadi bila kita melihat anjing yang memerlukan pertolongan, kita sewajarnya menolongnya.

“Saya berharap masyarakat, terutamanya yang beragama Islam di Malaysia, melihat haiwan itu yang hanya mahukan perhatian dan belaian kasih sayang sama seperti haiwan yang lain.

“Tidak semua anjing bersifat agresif dan jika kita tidak mengacau, dia tidak akan menyerang,’ katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS