Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
K’jaan dapat perintah interim sekat Petrosaudi guna AS$340 juta 1MDB

Mahkamah hari ini memberi perintah interim (ad interim) berhubung permohonan kerajaan untuk pelucutan hak ke atas Petrosaudi International Limited, pengarahnya Tarek Obaid dan tiga yang lain daripada menggunakan dana lebih AS$340 juta yang didakwa mempunyai kaitan dengan 1MDB.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali membuat perintah sementara itu selepas sesi pendengaran kes di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini dan dimaklumkan wang berkenaan disimpan dalam akaun di United Kingdom (UK).

"Mahkamah mempunyai bidang kuasa, memberikan perintah interim sementara. Sekarang saya berikan (perintah interim) yang akan dikuatkuasakan sehingga (mahkamah mendengar) permohonan utama saman pelucutan hak," katanya selepas mendengar permohonan pihak pendakwaan berhubung perintah larangan ke atas Clyde & Co LLP menggunakan AS$340 juta itu.

Gambar fail - Tarek Obaid

Permohonan saman pelucutan hak akan didengar pada 28 Ogos ini.

Cylde & Co LLP berpangkal di London merupakan syarikat yang memegang wang A$340,258,246.87 (setakat bulan Februari 2019) milik PetroSaudi dan anak syarikatnya PetroSaudi Oil Services (Venezuela) Limited hasil daripada pengubah wang haram.

Untuk rekod, pada 10 Julai, kerajaan memfailkan saman pelucutan hak ke atas Petrosaudi dan Tarek daripada menggunakan dana lebih AS$340 juta yang mempunyai kaitan dengan 1MDB.

Permohonan itu dikemukakan mengikut Seksyen 53 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 sebagai asas.

Menurut permohonan itu, selain wang berjumplah lebih AS340 juta berkenaan, kerajaan juga memfailkan larangan penggunaan wang yang disimpan dalam akaun bank atas nama Temple Fiduciary Services Limited.

Permohonan itu disokong afidavit pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohd Afiq Abd Aziz.

Gambar fail - Najib bersama Tarek

Berdasarkan afidavit, Mohd Afiq berkata wang sejumlah AS$340,258,246,87 juta itu berkait dengan konspirasi membabitkan bekas perdana menteri Najib Razak, Tarek dan Low Taek Jho ataupun Jho Low.

Terdahulu peguam Yusof Zainal Abiden dan Alex Tan memberitahu mahkamah bahawa mereka menerima arahan untuk membantah permohonan kerajaan bagi menyekat penggunaan wang tersebut.

Yusof berkata bahawa anak guamnya juga memerlukan tiga minggu untuk membalas afidavit pihak pendakwa raya berhubung permohonan mendapatkan pelucutan hak berkenaan.

Bagaimanapun, timbalan pendakwa raya Budiman Lufti Mohamed meminta mahkamah untuk mengeluarkan satu perintah sementara, sementara menunggu perbicaraan penuh bulan depan.

"Ini kerana, kami ingin pastikan bahawa wang itu di Clyde & Co LLP tidak akan diagihkan kepada responden (sementara menunggu perbicaraan) susulan satu keputusan tribunal timbang tara di London berpihak kepada Petrosaudi pada Jumaat yang lalu.”

Budiman Lufti Mohamed

Budiman menambah bahawa sekiranya perintah sementara tidak dibenarkan untuk menyekat wang tersebut, maka saman pelucutan hak akan menjadi akademik.

Yusof walau bagaimanapun menyoal sama ada atau tidak terdapat peruntukan undang-undang yang memungkinkan mahkamah untuk memberikan perintah sementara.

"Itu bererti cadangan untuk menentang permohonan pelucutan hak itu akan hilang," katanya.

Tan, sementara itu pula berkata SPRM tidak mengambil tindakan walaupun mengetahui tentang wang berkenaan sejak Januari.

"Faktanya adalah, Malaysia mengetahui sepenuhnya mengenai proses timbang tara antara PetroSaudi Oil Services dan Petróleos de Venezuela.

"Mereka bahkan menghubungi kerajaan UK dan menulis surat kepada Clyde.

"Saya tidak melihat asas mahkamah untuk mengeluarkan perintah interim sementara atas alasan mendesak kononnya keputusan tribunal timbang tara berpihak kepada Petrosaudi,” katanya.

Muhammad Nizamuddin Abdul Hamid

Tetapi peguam Muhammad Nizamuddin Abdul Hamid, yang mewakili SPRM, tidak setuju dengan Tan bahawa agensi itu tidak mengambil sebarang langkah mengenai wang tersebut.

"NCA memaklumkan kepada kami untuk mendapatkan perintah mahkamah di sini supaya mereka dapat melaksanakannya di sana," katanya, merujuk kepada Badan Jenayah Nasional UK sambil menambah bahawa Tarek juga tidak menghadapi tuduhan di sana.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS