Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

KATA MP | Saya menyambut baik inisiatif yang diambil Kementerian Pengangkutan seperti yang dijelaskan oleh menteri dalam sesi soalan lisan di parlimen dalam meneruskan usaha yang dibawa Pakatan Harapan sebelum ini bagi meminda Akta Pengangkutan 1987 (akta 333) berkenaan kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah.

Dalam pada itu, saya juga ingin mencadangkan supaya kerajaan dan Kementerian Pengangkutan mempertimbangkan cadangan untuk mengambil kira hak mangsa yang terkesan terhadap kerugian dan pembelaan akibat kemalangan yang berlaku dalam inisiatif yang akan dilaksanakan berkenaan hal ini.

Hal ini wajar diberi perhatian kerana apabila melihatkan pada statistik, setakat Mei lalu, 22 kemalangan jalan raya dengan sembilan kematian dan 13 kecederaan dicatatkan membabitkan kes pemandu mabuk. Bagi tahun 2018, 2019 dan separuh pertama 2020, keseluruhan angka kematian adalah 29 orang manakala kecederaan melibatkan 41 mangsa.

Seperti yang dapat dilihat pada kes kemalangan pada 25 Mei 2020 yang lalu, mangsa Irwan Herwan berumur 41 tahun maut akibat dilanggar pemandu mabuk yang meninggalkan dua orang anak kecil dan isteri adalah merupakan pencari nafkah bagi keluarga.

Oleh hal yang demikian, saya mencadangkan kerajaan dan Kementerian Pengangkutan melihat kepada perkara ini secara teliti agar penetapan kuantum ganti rugi kepada keluarga mangsa ditambah baik memandangkan kuantum sedia ada dilihat tidak menjamin kelangsungan masa depan keluarga atau waris mangsa mengambil kira kemungkinan kehilangan punca pendapatan keluarga, trauma yang dirasai oleh keluarga mangsa dan masa depan waris mangsa.

Selain itu, prosedur ganti rugi juga harus ditambah baik agar lebih efektif dan tidak membebankan keluarga atau waris mangsa.


SYED IBRAHIM SYED NOH ialah anggota parlimen Ledang.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS