Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Risiko penularan Covid-19 di pusat penempatan banjir - Noor Hisham

Keadaan penghuni yang ramai di pusat penempatan sementara (PPS) berikutan bencana banjir boleh membawa risiko penularan jangkitan COVID-19 dalam kalangan mangsa dan petugas.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata setakat ini, sebanyak 18 PPS telah dibuka di tujuh daerah dan menempatkan seramai 1,267 mangsa daripada 303 keluarga.

"Justeru itu, langkah-langkah pencegahan COVID-19 di PPS perlu diamalkan dan diberi perhatian oleh semua penghuni dan agensi yang bertanggungjawab dalam pengurusan serta kebajikan mangsa di PPS. Amalan seperti penjarakan sosial yang selamat, mencuci tangan dengan air dan sabun, etika batuk dan bersin perlu diamalkan sepanjang masa.

“Penghuni dan petugas juga dinasihatkan supaya mengamalkan 3W dan mengelakkan 3S iaitu kawasan yang sesak, sempit dan sembang dengan jarak yang dekat sepanjang masa di PPS," menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Jabatan Meteorologi Malaysia telah menyatakan negara sedang mengalami cuaca lembap dari semasa ke semasa dan dijangka berterusan sehingga hujung Julai ini, dengan banjir kilat berlaku di beberapa kawasan di Johor, Pahang, Selangor dan Melaka, menyebabkan PPS dibuka bagi menempatkan mangsa banjir di kawasan terjejas.

Sehubungan itu, Dr Noor Hisham berkata Kementerian Kesihatan telah membangunkan panduan pencegahan dan pengurusan COVID-19 di PPS bermula daripada proses pemindahan mangsa ke pusat tersebut sehingga proses selepas tamat penempatan.

Katanya antara 11 langkah yang dicadangkan dalam panduan itu ialah semua PPS perlu meletakkan tanda menjaga jarak fizikal, menyediakan sabun dan air atau cecair pembasmi kuman serta sanitasi kawasan guna sama harus dilakukan dengan kerap.

Sementara itu, beliau menegaskan jangkitan COVID-19 dalam sekolah harus dicegah kerana boleh mengakibatkan penularan yang meluas dalam kalangan rakan sebaya, guru dan keluarga di rumah serta komuniti.

Justeru itu, katanya kepatuhan kepada segala nasihat dan saranan Kementerian Kesihatan adalah penting bagi melindungi orang ramai daripada dijangkiti COVID-19.

Dr Noor Hisham memberi peringatan itu selepas pelajar sekolah menengah, Tahun Lima dan Enam memulakan sesi persekolahan hari ini dan turut mengucapkan syabas kepada semua pihak yang bertanggungjawab memastikan pelajar, murid serta kakitangan sekolah mematuhi prosedur operasi standard ditetapkan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS