Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Geramm kecam gangguan seksual terhadap wartawan
Diterbitkan:  Jul 15, 2020 11:14 PM
Dikemaskini: 3:14 PM

Kumpulan wartawan Gerakan Media Merdeka (Geramm) mengecam gangguan seksual yang didakwa dilakukan terhadap seorang wartawan wanita dan menggesa polis mengambil tindakan terhadap pelaku.

Kumpulan itu merujuk kepada insiden membabitkan wartawan Malaysia Gazette, Zazrina Zainuddin yang dilaporkan telah membuat laporan polis mengenai kejadian itu pada Isnin lalu.

"Geramm menegaskan sebarang bentuk gangguan seksual terhadap mana-mana individu, dalam kes ini melibatkan wartawan, adalah sama-sekali tidak boleh diterima," kata kumpulan itu dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut laporan Malaysia Gazette semalam, Zazrina menerima komen berkenaan setiap kali muncul mengendalikan siaran langsung di laman Facebook portal berita itu.

Zazrina dilapor berkata beliau merasakan perbuatan itu amat mengganggu keselesaan dan keselamatan dirinya.

“Gangguan (seksual) ini tidak mengira topik ketika live (siaran langsung), cuma perkara ini jadi terjadi bila saya sendiri menjadi hos yang mengendalikan live tersebut”

“Ayat yang dikomen lebih kurang sama dan tetap berbaur lucah, mengakibatkan penonton-penonton yang lain turut rasa kurang selesa” katanya.

Menurut Zazrina, terdapat juga penonton yang meminta beliau dan Malaysia Gazette membuat laporan polis terhadap akaun-akaun yang membuat komen berbaur lucah itu.

Portal itu dilapor telah membuat laporan polis di ibu pejabat polis daerah Serdang.

Sementara itu, Geramm berkata wartawan didapati terdedah kepada risiko gangguan semasa bertugas terutama ketika perintah kawalan pergerakan (PKP).

Ini katanya, berlaku sama ada ketika wartawan mengendalikan siaran langsung, atau ketika mengemukakan soalan semasa sidang media harian yang disiarkan secara langsung.

"Gangguan diterima bukan sahaja berbentuk seksual atau komen lucah, tetapi juga menyentuh isu perkauman serta bentuk fizikal," jelasnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS