Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tahap ‘kesopanan dan kesusilaan’ dalam parlimen kita

ULASAN | Minggu lepas merupakan ulang tahun Rukun Negara ke 50 tahun. Rukun Negara mempunyai lima prinsip bagi mencapai objektifnya.

Prinsip yang terakhir adalah "kesopanan dan kesusilaan", yang merujuk kepada sifat sopan-santun dan saling menghormati bagi membentuk masyarakat Malaysia yang harmoni.

Namun pada hari pertama sidang Dewan Rakyat pada hari Isnin lalu, saya sedikit kecewa melihat gelagat para ahli parlimen yang membahaskan usul pada hari tersebut.

Kelakuan mereka masing-masing saling tidak tumpah seperti manusia yang tidak bertamadun.

Saya menggambarkan sebelum ini kriteria seseorang calon wakil rakyat ialah seorang yang berbudi bahasa tinggi selain dari mempunyai kelayakan yang lain kerana seorang wakil rakyat kerjanya ialah berkhidmat untuk rakyat.

Maka beliau seharusnya mempunyai budi bahasa yang tinggi dan sopan untuk menyantuni segenap masyarakat yang diwakili oleh beliau.

Namun pada hari Isnin lalu, saya sangat kecewa dengan perilaku sebilangan mereka.

Insiden Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, ahli parlimen Muar diperlekehkan dan diejek ketika beliau ingin berbahas adalah sesuatu yang sangat kebudak-budakan dan tidak matang untuk standard wakil rakyat.

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman

Adakah kerana beliau seorang anak muda beliau boleh diperlekehkan sebegitu di dalam dewan yang mulia itu?

Bagi saya hormat itu bukan sahaja perlu dimiliki bahkan ia juga perlu diberi.

Sifat hormat menghormati juga bukan hanya tertakluk kepada anak muda menghormati orang yang lebih berusia, tetapi orang yang lebih berusia juga harus menghormati perasaan dan pandangan anak muda kerana anak muda adalah generasi yang menjalani arus masa kini.

Pandangan mereka adalah pandangan semasa yang tidak boleh diperlekehkan jika kita mahu bergerak sealiran dengan zaman.

Insiden itu telah mencetuskan kemarahan anak muda terutamanya yang aktif di media sosial.

Mereka telah memperkenalkan tanda pagar #MasaKita - iaitu untuk menyeru dan membangkitkan kesedaran untuk anak muda mula bertindak menolak wakil rakyat yang sudah berusia yang tidak mencerminkan langsung keperibadian sebagai seorang wakil rakyat.

Selain dari insiden itu, insiden yang paling tidak seharusnya terjadi ialah apabila ahli parlimen Baling Azeez Rahim mengeluarkan kata-kata seksis dan rasis kepada ahli parlimen Batu Kawan, Kasthuri Patto.


Azeez mohon maaf selepas diarah speaker


Perilaku ini adalah perilaku yang tidak boleh diterima sama sekali.

Azeez Rahim 

Sebagai seorang ahli parlimen yang membawa gelaran "yang berhormat", seharusnya beliau harus mengangkat gelaran itu selari dengan perilaku beliau.

Beliau juga seharusnya tidak mengeluarkan kata-kata begitu kerana sifat rasis dan seksis tidak sepatutnya ada pada seorang wakil rakyat, yang bekerja menyantuni rakyat.

Apakah sifat begini yang beliau bawa ketika mendekati dan menyantuni masyarakat di tempat beliau?

Insiden-insiden begini adalah bukti di mana prinsip Rukun Negara hanyalah menjadi sebutan di bibir kita sahaja dan bukan tersemat rapi didalam hati dan menjadi jati diri.

Seharusnya mereka yang menjadi wakil rakyat ini adalah individu yang menjadi ejen ataupun contoh keberkesanan prinsip Rukun Negara kita.

Namun saya tidak lihat hal ini terjadi.

Bahkan ada prinsip-prinsip Rukun Negara kita ini seolah-olah dipijak dan tiada nilai bagi mereka melalui tindak tanduk mereka untuk kekal berkuasa.

Jadi apa nilai Rukun Negara kita ini sebenarnya?


Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS