Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Sumbangan 10% nilai projek bukan dari mulut Rosmah - saksi

  • Dikemas kini dengan laporan penuh.

Seorang saksi bersetuju perbincangan mengenai sumbangan politik, dalam bentuk sebahagian daripada RM1.25 bilion nilai projek solar hibrid di Sarawak, bukan datang daripada mulut Rosmah Mansor sendiri.

Sebaliknya, menurut Rayyan Radzwill Abdullah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, hal itu hanya ditimbulkan oleh bekas pembantu Rosmah, Rizal Mansor.

Semasa pemeriksaan balas oleh peguam bela Akberdin Abdul Kader, Rayyan bersetuju bahawa perkataan “sumbangan politik” dalam kes itu timbul buat pertama kali daripada mulut Rizal sendiri, dan diterima oleh pengarah urusan Jepak Holdings (Jepak) Saidi Abang Samsudin.

Sedangkan, kata Rayyan, sumbangan yang ditawarkan Saidi itu sebenarnya tawaran komisen untuk mendapatkan projek berkenaan.

Akberdin: Dia (Saidi) gunakan perkataan sumbangan politik.

Rayyan: Yang itu Rizal cakap. Saidi tawar (sumbangan) untuk dapatkan projek. Rizal bagi tahu kamu tawarkan untuk sumbangan politik.

Akberdin: Ini bererti, sumbangan politik yang dicadangkan oleh Rizal diterima oleh Saidi, adalah untuk diberikan kepada perdana menteri (atau) parti, melalui Rosmah?

Rayyan: Ini cara yang nampak cantik. Kalau cakap conscience (dari segi moral), tak cantik. Tujuan utama untuk komisenlah.

Tambahnya, sebelum pertemuan di rumah Rosmah sekitar Januari atau Februari 2016, Rizal yang mula-mula mencadangkan agar Saidi menawarkan angka 10 ke 15 peratus nilai projek kepada Rosmah dalam perjumpaan di rumah Rosmah beberapa hari kemudian.

Rayyan turut bersetuju bahawa isu “tawar-menawar” jumlah sumbangan - bermula angka 10 peratus dan berhenti apabila sampai ke angka 15 peratus - turut ditimbulkan oleh Rizal, sebelum dia dan Saidi masuk ke kediaman Rosmah pada hari perjumpaan.

Sebaliknya, Rayyan bersetuju dengan Akberdin bahawa ketika Saidi mengemukakan tawaran 10 peratus sumbangan tersebut, Rosmah tidak menyambut baik tawaran berkenaan, tidak menyatakan beliau bersetuju, dan tidak membuat sebaran tawar-menawar seperti dinyatakan Rizal sebelum itu.

Rayyan turut bersetuju dia tidak melihat Rosmah meminta sendiri tawaran berkenaan, dan mengakui Rosmah tak pernah menaikkan jumlah sumbangan kepada 15 peratus.

Akberdin: Tadi kamu dah kata, tawaran dibuat oleh Saidi, beliau (Rosmah) tak menerima, tak jawab saya terima. Lepas tu tak ada soalan tawar-menawar (bargain), kesimpulannya, Rosmah tak minta sebab Saidi yang buat tawaran?

Rayyan: Ya betul.

Akberdin: Apa yang paling mustahak di sini, tawaran tersebut, beliau (Rosmah) tak minta dan tak terima tawaran tersebut. Betul?

Rayyan: Pada perbincangan itu memang tak diterima.

Malah, ketika Akberdi mencadangkan bahawa Rosmah menunjukkan bahasa badan terkejut apabila ditawarkan sumbangan politik sedemikian oleh Saidi, Rayyan mengaku Rosmah “terdiam sebentar”.

“Beliau diam sebentar. Terkejut atau tidak saya tak tahulah”.

Menurut Akberdin, dia menerima arahan daripada Rosmah bahawa anak guamnya itu berasa terkejut apabila ada orang tiba-tiba datang ke rumahnya bercakap tentang projek dan minit daripada perdana menteri- iaitu suaminya Najib Razak- lalu membuat tawaran 10 peratus daripada nilai projek berkenaan.

“Saya tak boleh ramal apa dia rasa,” jawab Rayyan.

11 surat yang mendapat minit Najib

Dalam perbicaraan hari ini, Akberdin turut merujuk 11 surat yang ditulis Rayyan mewakili Jepak yang mendapat minit daripada Najib Razak sendiri berhubung pelbagai urusan pelaksanaan projek berkenaan.

Kesemua minit daripada Najib Razak itu diperoleh menerusi bantuan Ahmad Aazmey Abu Talib, yang merupakan setiausaha bahagian Umno Pekan.

Untuk rekod, Najib ialah ketua bahagian Umno Pekan.

Antara minit Najib ialah sokongan agar Jepak dilantik melalui rundingan terus, persetujuan untuk projek itu dilaksanakan menggunakan bajet genset diesel sedia ada di Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) selepas permohonan peruntukan tambahan ditolak, arahan untuk kementerian kewangan menandatangani dengan segera kontrak projek itu, dan lain-lain.

Pasukan pendakwaan hari ini diwakili timbalan pendakwa raya Mohamad Mustaffa P Kunyalam.

Rayyan merupakan saksi ke-16 perbicaraan rasuah membabitkan Rosmah di hadapan hakim Mohamed Zaini Mazlan, yang masuk hari ke-17.

Rosmah berdepan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan sebanyak RM6.5 juta daripada Saidi, sebagai upah membantu Jepak mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid, serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak.

Projek itu bernilai RM1.25 bilion, diperoleh secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan Malaysia.

Perbicaraan bersambung esok.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS