Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Seramai 23,955 rakyat M'sia terkandas telah dibawa pulang

Setakat hari ini, kerajaan berjaya membawa pulang 23,955 rakyat Malaysia yang terkandas di 82 negara akibat penularan pandemik COVID-19, kata Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Kepulangan terbaharu melibatkan 143 rakyat Malaysia dari Jordan menerusi penerbangan yang diatur Kedutaan Diraja Thailand di Amman yang tiba pagi tadi bersama-sama 120 rakyat Thailand yang juga terkandas di negara itu.

Beliau berkata kepulangan rakyat Malaysia yang terkandas itu diikhtiarkan menerusi pelbagai cara termasuk bantuan pihak swasta, kerajaan serta penerbangan ihsan oleh negara-negara sahabat.

"Saya juga ingin memaklumkan sehingga semalam masih terdapat 317 rakyat Malaysia yang diklasifikasikan sebagai terkandas di 37 buah negara," katanya pada sidang media di Bangunan Parlimen di Kuala Lumpur, hari ini.

Hishammuddin berkata daripada jumlah itu, 191 orang dikategorikan sebagai berada dalam situasi kritikal termasuk 189 jemaah tabligh yang berada di India dan menghadapi tindakan undang-undang kerana menyalahgunakan visa lawatan sosial.

Menurutnya kerajaan juga mengenal pasti 10,159 rakyat Malaysia yang berpotensi terkandas di serata dunia dengan 9,270 daripadanya merupakan penuntut tahun akhir pengajian di universiti.

Mengenai keputusan pembukaan sempadan Malaysia-Singapura untuk dua kategori pertama mulai 10 Ogos ini, Hishammuddin berkata kerajaan akan melihat sejauh mana kemampuan untuk mengendalikan kelonggaran terbaharu itu dan tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

Katanya ini penting sebelum memperluaskan kelonggaran itu kepada kategori ketiga iaitu rakyat Malaysia dan Singapura yang berulang-alik setiap hari untuk bekerja, melibatkan kira-kira 200,000 individu.

“Ini juga bagi mempertimbangkan pembukaan penuh sempadan (Malaysia-Singapura) (kategori keempat).

“Bagi dua kategori (ketiga dan keempat), kerajaan Malaysia dan Singapura masih perlu memperhalusi banyak perkara kerana dilemanya ialah soal keselamatan dan kesihatan memandangkan situasi COVID-19 masih belum reda," katanya.

Hishammuddin dalam kenyataan bersama rakan sejawatannya dari Singapura Dr Vivian Balakrishnan sebelum ini mengumumkan Malaysia dan Singapura bersetuju melaksanakan Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) dan Pengaturan Ulang-Alik Berkala (PCA) bermula 10 Ogos.

Menurut kenyataan itu, mereka yang melakukan perjalanan perlu memenuhi syarat kedua-dua kategori iaitu mematuhi langkah pencegahan dan kesihatan awam COVID-19, yang disepakati kedua-dua negara, termasuk menjalani ujian swab tindak balas rantai polimerase (PCR).

Sementara itu, Hishammuddin berkata Malaysia menyambut baik keputusan Amerika Syarikat (AS) yang menarik balik peraturan tidak membenarkan penuntut antarabangsa tinggal di negara itu jika kuliah mereka diadakan secara dalam talian untuk semester akan datang.

"Itu berita baik. Saya tahu pelajar kita di AS sangat bimbang mengenai perkara itu,” katanya.

Media antarabangsa hari ini melaporkan AS membatalkan peraturan yang tidak membenarkan penuntut antarabangsa tinggal di negara itu jika kelas mereka diadakan secara dalam talian.

Hakim Persekutuan Allison Burroughs pada Selasa mengumumkan kerajaan bersetuju untuk menarik semula keputusan dan sebarang pelaksanaan susulan tuntutan difailkan oleh Universiti Harvard dan Institut Teknologi Massachusetts terhadap peraturan baharu yang diumumkan Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam (ICE) pada 6 Julai.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS