mk-logo
Berita
'Saya sudah baik pulih hubungan dengan China dan negara lain'
Diterbitkan:  Jul 15, 2020 4:48 PM
Dikemaskini: Jul 17, 2020 7:28 AM

Tiada lagi kapal pengawal pantai dan tentera laut China dikesan menceroboh perairan negara buat masa ini, kata Menteri Luar Hishammuddin Hussein.

Beliau berkata ini hasil hubungan dua hala yang berjaya ditambah baik di antara kedua-dua negara sepanjang tempoh 100 hari sejak beliau dilantik memimpin Wisma Putra.

“Satu-satu perkara yang saya terpaksa betulkan sejak saya memimpin Wisma Putra ini ialah membaik pulih hubungan dengan China, India, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu … jadi bila kita cakap pasal Laut China Selatan, sudah pasti hubungan dengan China adalah penting.

“Terbaru, dalam 100 hari memimpin Wisma Putra, kapal-kapal China di perairan kita sekarang ini dah tak ada lagi dan cara bagaimana kita lakukannya?

"Ini di antara kami dan kepimpinan China kerana pendirian saya sangat jelas yang kita tidak akan bertolak ansur dalam soal kedaulatan kita,” katanya pada sidang media di bangunan parlimen, di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai Laporan Ketua Audit Negara yang antara lain mendedahkan kapal pengawal pantai China dan tentera laut China dikesan menceroboh perairan negara sebanyak 89 kali dari 2016 hingga 2019 dan kehadiran mereka dikenal pasti berhubung tuntutan di Laut China Selatan khususnya kawasan Beting Patinggi Ali (BPA).

Hishammuddin mengakui isu di Laut China Selatan bukan sahaja melibatkan kehadiran kapal dari negara China dan Amerika Syarikat (AS), tetapi juga isu tuntutan perairan oleh negara-negara Asean.

"Jika kita selesaikan isu sempadan dengan China dan isu saling menunjukkan kekuatan di antara kuasa-kuasa besar, kita masih ada isu tuntutan bertindih oleh negara tetangga kita yang perlu diselesaikan.

“Namun, yang saya takutkan ialah insiden di laut yang boleh berakhir dengan peperangan. Kita perlu elak perkara ini, justeru tindakan mempamerkan kekuatan ketenteraan masing-masing tidak akan membantu menyelesaikan masalah dan kita perlukan semua negara Asean bersetuju tentang ini.

“Buat masa ini kita semua sepakat dan hanya dengan cara itu kita boleh mendepani China dan AS (di Laut China Selatan),” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS