Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Selepas empat bulan ‘cuti’ sekolah dibuka semula
Diterbitkan:  Jul 15, 2020 12:42 PM
Dikemaskini: 4:42 AM

Setelah lebih empat bulan ‘bercuti’ susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19, pembukaan semula sekolah dalam keadaan normal baharu hari ini berjalan lancar dengan pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Kehadiran pelajar Tingkatan Satu hingga Empat, murid Tahun Lima dan Enam serta pelajar kelas peralihan itu menyaksikan setiap pelajar yang tiba lengkap memakai pelitup separuh muka, diperiksa suhu badan, mencuci tangan dengan cecair pensanitasi tangan, sebelum dibenarkan masuk ke kelas.

Malah, ada antara pelajar yang segak memakai pakaian beruniform sempena hari Kokurikulum yang lazimnya diadakan pada setiap Rabu, manakala ibu bapa pula hanya dibenarkan menghantar anak masing-masing setakat di pintu utama sekolah.

Ceria bertemu rakan-rakan, mereka mematuhi panduan guru dan mengikuti SOP termasuk mengamalkan jarak sosial walaupun agak kekok kerana terpaksa duduk berjauhan antara satu sama lain.

Di KELANTAN, Menteri Kanan Pendidikan Radzi Jidin ketika mengadakan lawatan ke Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Gajah, Tanah Merah berkata pembukaan semula sekolah pada hari ini berjalan lancar dengan semua warga sekolah mematuhi SOP ditetapkan.

Tinjauan Bernama di daerah itu mendapati pelajar dan murid memakai pelitup separuh muka serta pihak sekolah merekodkan kedatangan dan suhu pelajar sebelum mereka masuk ke kelas.

Untuk rekod, seramai 84,237 pelajar Tingkatan Satu hingga Empat dan 56,478 murid Tahun Lima dan Enam yang memulakan persekolahan hari ini di Kelantan.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato' Ahmad Maher, Prof Dr Wan Hazabbah Wan Hitam berkata pihaknya bekerjasama dengan pengurusan tertinggi sekolah untuk melengkapkan SOP di sekolah berkenaan.

Di KUALA LUMPUR, tinjauan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chong Hwa, Setapak mendapati semua laluan ditanda dengan pelekat bagi menandakan arah yang perlu diikuti pelajar dan guru bertujuan mematuhi jarak sosial dengan suhu badan keseluruhan 219 pelajar diambil sebanyak dua kali.

Sekolah berkenaan menggunakan teknologi pengimbas suhu dan muka bagi merekodkan data tersebut sebelum pelajar memasuki bilik darjah dan ia juga dilakukan bagi memastikan mereka benar-benar sihat.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS