Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Moratorium: Bayaran balik pinjaman RM55.2b setakat 13 Julai

Moratorium bayaran balik pinjaman institusi kewangan yang dilaksanakan mengikut pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) sejak 1 April lalu berjumlah RM55.2 bilion setakat 13 Julai ini.

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata daripada jumlah tersebut sebanyak RM19.3 bilion dimanfaatkan oleh sektor perniagaan manakala RM35.9 bilion oleh rakyat.

Menurutnya, tujuan moratorium yang juga matlamat ketiga Prihati ialah untuk memberikan kelegaan bagi rakyat dan perniagaan yang memerlukan bagi jangka masa enam bulan.

“Dalam masa yang sama, kerajaan juga melaksanakan langkah-langkah untuk menjana pekerjaan dan meningkatkan kemahiran pekerja.

“Antara usaha ini termasuklah menyokong perniagaan dari segi mengekalkan pekerjaan melalui Program Subsidi Upah (di bawah Pelan Prihatin dan Prihatin PKS+) dan Program Subsidi Upah yang ditambah baik (di bawah Pelan Penjana),” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Tengku Zafrul berkata di bawah pelan Penjana, kerajaan juga memberi insentif bagi pengambilan pekerja dan bantuan latihan serta insentif peningkatan kemahiran untuk belia dan penganggur agar nasib mereka terbela sekurang-kurangnya selama tiga bulan dan kekal berdaya saing apabila pasaran pekerjaan kembali rancak.

Bagi yang masih terkesan pula, mereka disarankan untuk segera berbincang dengan institusi bank masing-masing atau Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) bagi mendapatkan khidmat nasihat.

Menurut Tengku Zafrul, bank-bank juga proaktif menghubungi peminjam secara bersasar untuk menawarkan khidmat nasihat bagi bantuan bayaran balik.

“Bagi matlamat pertama iaitu untuk melindungi rakyat, kerajaan telah mengagihkan sebanyak RM11.06 bilion Bantuan prihatin Nasional (BPN) setakat 13 Julai melibatkan 10.4 juta penerima dan telah meluluskan 4.43 juta permohonan i-Lestari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan pengeluaran kumulatif April-Julai sebanyak RM5.37 bilion.

“Bagi matlamat kedua pula iaitu bertujuan menyokong perniagaan, jumlah keseluruhan Geran Khas Prihatin untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mikro bernilai lebih kurang RM1.64 bilion telah disalurkan memanfaatkan 545,000 PKS mikro,” katanya.

Menurut beliau, bagi inisiatif Program Subsidi Upah untuk membantu majikan yang terkesan akibat Covid-19, kerajaan meluluskan sebanyak RM7.79 bilion kepada lebih 2.53 juta pekerja, manakala jumlah bayaran adalah sebanyak RM6.82 bilion yang memanfaatkan 2.49 juta pekerja.

Bagi inisiatif ketiga kerajaan membantu merancakkan perniagaan menerusi Program Bantuan Majikan Covid-19 (e-CAP), setakat 13 Julai KWSP berjaya membantu 11,370 permohonan daripada 39,323 permohonan yang melibatkan RM76.1 juta bagi caruman KWSP majikan.

Bagi inisiatif keempat, sebanyak RM9.1 bilion Dana Pinjaman Mudah PKS diluluskan bank-bank tempatan yang melibatkan 20,545 PKS dan inisiatif kelima di bawah Skim Kredit Mikro BSN, sebanyak 10,264 permohohan diluluskan bernilai RM344.4 juta.

“Daripada jumlah yang diluluskan, pembayaran telah dibuat kepada 6,200 PKS melibatkan jumlah sebanyak RM223 juta.

“Bagi program Tekun, jumlah permohonan yang diluluskan ialah 25,502 bernilai RM194.63 juta dan daripada jumlah yang di luluskan, pembayaran telah dibuat kepada 22,989 PKS melibatkan jumlah sebanyak RM171 juta,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS