Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Dr M pertimbang sertai PRU mengejut dengan 'parti baru'
Diterbitkan:  Jul 14, 2020 6:38 PM
Dikemaskini: 11:02 AM

Sekiranya pilihan raya mengejut diadakan, bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad berkata beliau dan penyokongnya mungkin bertanding di bawah parti politik baru.

Pemimpin berusia 95 tahun itu juga berkata beliau akan tetap berkempen tetapi membayangkan tidak memainkan peranan utama.

Beliau berkata demikian semasa wawancara video baru-baru ini bersama laman web berita perniagaan yang berpangkalan di Hong Kong, Investvine.

Terdahulu beliau ditanya mengenai kemungkinan diadakan pilihan raya umum mengejut di tengah-tengah iklim politik yang tidak stabil sekarang.

"Saya akan sangat tua pada masa itu. Saya mungkin akan berada 'di tepi-tepi' saja, menolong orang lain, menolong parti saya sendiri untuk bertanding dan semoga (kami) dapat memperoleh beberapa kerusi.

"Tetapi parti saya sendiri (Bersatu) kini terbahagi kepada dua - satu bahagian bersama kerajaan dan satu bahagian lagi berpihak kepada saya. Mereka berusaha sedaya upaya untuk memastikan saya tidak dapat bertanding atas nama parti itu.

"Jadi kami berhadapan dengan kemungkinan perlu bertanding dengan nama parti yang berbeza, mungkin parti baru. Jadi keadaan pada masa ini sangat tidak menentu,” jawabnya.

Pada bulan Mei, Mahathir dan empat penyokongnya disingkir daripada Bersatu - parti yang diasaskan beliau sendiri.

Ini berlaku selepas kumpulan itu secara terbuka enggan tunduk kepada presiden parti Muhyiddin Yassin, yang secara peribadi dituduh oleh Mahathir mengkhianatinya untuk jawatan perdana menteri. 

Kumpulan pemimpin Bersatu yang berpihak kepada Mahathir ini juga pernah duduk sebagai ahli parlimen bebas ketika persidangan Dewan Rakyat 18 Mei.

Kumpulan itu sejak itu memulakan tuntutan undang-undang terhadap langkah penyingkiran itu.

Mengulas lanjut, ahli parlimen Langkawi mengulangi ramalannya Bersatu akan kalah teruk dalam pilihan raya umum akan datang.

"Parti kami sendiri - baik yang ada di dalam kerajaan dan di luar kerajaan - kami telah kehilangan sokongan daripada gabungan kami sebelumnya (Pakatan Harapan) dan kami tidak mendapat sokongan daripada Umno dan semua (parti daripada) gabungan baru itu.

"Jadi prestasi akan sangat buruk kepada parti," katanya semasa wawancara itu.

Pada Februari lalu, Bersatu keluar PH dan membentuk kerajaan Perikatan Nasional bersama Umno, PAS, GPS, PBS dan Star dalam rampasan kuasa politik yang kini dikenali sebagai "Langkah Sheraton."

Walau bagaimanapun, rintangan terhadap cengkaman kekuasaan PN telah menimbulkan kebimbangan bahawa kejatuhannya mungkin boleh berlaku pada bila-bila masa.

Selepas PH berulang kali mengancam akan melancarkan serangan balas, beberapa pemimpin Umno menggesa supaya pilihan raya diadakan untuk menyelesaikan ketidakstabilan politik.

Dalam undian untuk menyingkirkan speaker Dewan Rakyat semalam, PN mempunyai majoriti tipis 111 sokongan ahli parlimen berbanding 109 MP pembangkang.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS