Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pelantikan Azalina memperkasa wanita, kata pemimpin PN

Anggota Parlimen Wanita Perikatan Nasional (PN) hari ini menyokong pelantikan Azalina Othman Said sebagai timbalan speaker baru Dewan Rakyat.

Anggota Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin, berkata pelantikan itu juga disifatkan mereka sebagai penuh bersejarah dan dilihat positif buat negara, khususnya dalam memperkasa peranan wanita di peringkat tertinggi.

"Kami, ahli Parlimen Wanita dari PN melihat pelantikan Azalina ini tepat pada masanya, memandangkan beliau sendiri mempunyai latar belakang profesional sebagai seorang peguam.

“Bahkan beliau pernah mengendalikan urusan hal ehwal Parlimen sewaktu berkhidmat sebagai Pengerusi Kaukus Wanita Parlimen Malaysia," katanya di Parlimen, hari ini.

Kenyataan itu disokong oleh termasuk wakil Umno seperti Halimah Mohamed Sadique, Mastura Mohd Yazid, Noraini Ahmad dan Azizah Mohd Dun; Rina Mohd Harun dan Mas Ermieyati Samsudin (Bersatu); dan Nancy Shukri, Hanifah Taib dan Rohani Abdul Karim (Gabungan Parti Sarawak).

Semalam, Azalina (BN-Pengerang) dilantik sebagai timbalan speaker baru selepas usul dibentangkan di Dewan Rakyat diluluskan. Beliau menggantikan Anggota Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming.

Mengulas lanjut, Zuraida berkata kredibiliti Azalina turut dapat dibuktikan apabila sebelum ini dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Katanya, ini menjadikan Azalina pilihan terbaik buat kerajaan PN dalam usaha mereformasikan tadbir urus yang lebih telus.

"Kami percaya, dengan adanya kehadiran Azalina sebagai timbalan speaker Dewan Rakyat yang baru, ia bukan sahaja akan mengangkat martabat wanita di dalam negara bahkan menjadi contoh yang terbaik serta inspirasi buat seluruh wanita di Malaysia," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS