Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata sewaktu di dalam kerajaan PH, tiada sesiapa dalam gabungan itu yang menyokong cadangannya berhubung pelaksanaan pilihan raya kerajaan tempatan.
Zuraida yang ketika itu memegang portfolio yang sama malah berkata ideanya itu disanggah oleh bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.
Menjawab soalan tambahan daripada Mahfuz Omar (PH-Pokok Sena), berhubung sama ada pelaksanaaan pilihan raya itu telah mendapat persetujuan ahli kabinet Perikatan Nasional (PN) lain terutama PAS, sambil menyindir parti itu.
“Apakah kementerian sudah dapat persetujuan daripada semua anggota kabinet terutmamaya daripada PAS?
“PAS telah bantah… Adakah ia dapat persetujuan (PAS) kerana mereka kata takut 'kafiaq' (kafir) kuasai Malaysia,” soal Mahfuz.
Menjawab soalan itu, Zuraida berkata pelaksanaan pilihan raya tersebut tidak menjadi isu dan percaya ia dapat dilaksanakan dengan pendekatan yang lebih teliti dan menyeluruh.
“Saya nantikan soalan Pokok Sena kerana ketika saya angkat agenda ni masa kerajaan dulu (PH), ia disanggah oleh Langkawi (Mahathir), tak ada seorang pun di sana (PH) berani untuk sokong saya,” katanya.
Katanya lagi, ketika pentadbiran PH, Pulau Pinang mungkin menjadi antara sejumlah kecil negeri yang mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan dalam masa tiga tahun, tetapi idea itu ditolak Mahathir.
Kali terakhir pilihan raya itu diadakan adalah pada 1964. Ia antara janji yang terkandung dalam manifesto PH.
Zuraida kemudian menjawab soalan tambahan daripada Che Alias Hamid (PN-Kemaman) yang meminta penjelasan keperluan pilihan raya kerajaan tempatan.
Che Alias merujuk Akta Kerajaan Tempatan 1976 bahawa pelantikan anggota PBT di bawah exco kerajaan negeri yang dipengerusikan oleh menteri besar di setiap negeri secara tidak langsung menggambarkan pemilihan PBT juga dari pemilihan rakyat.
“Tidak jadi isu sebab saya sebagai menteri kerajaan tempatan, saya harus perkasakan kerajaan tempatan dan ini amat penting untuk menunjukkan bahawa negara ini sebuah negara yang progresif, yang demokratik.
“Jadi pada ketika ni sudah tiba masanya untuk rakyat menerima pilihan raya kerajaan tempatan.
“Ini adalah di antara kajian-kajian yang perlu dilaksanakan dan sasarannya adalah pertengahan tahun 2021 untuk dibentangkan dalam kabinet, untuk dapatkan kelulusan kabinet,” jelas Zuraida.
Terdahulu, beliau menjawab soalan dari Wong Hon Wai (DAP-Bukit Bendera) yang memintanya menyatakan perkembangan terbaru berkenaan pilihan raya kerajaan tempatan, sewaktu sesi pertanyaan menteri (MQT).