Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Jawapan bertulis buktikan aset TH telah dipindahkan - Najib
Diterbitkan:  Jul 14, 2020 2:01 PM
Dikemaskini: 6:01 AM

Bekas perdana menteri Najib Razak berkata jawapan Parlimen semalam mengesahkan aset-aset Lembaga Tabung Haji (TH) telah dipindahkan ke Kementerian Kewangan selari dengan Pelan Pemulihan (bailout) bernilai RM19.9 bilion yang dilaksanakan kerajaan PH pada tahun 2019.

Beliau secara sinis berkata, jawapan itu membuktikan bahawa kerajaan PH sebelum ini gagal dalam urus tadbir institusi ekonomi umat Islam itu.

"Dalam jawapan parlimen semalam, kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengesahkan aset-aset TH sudah dipindah ke Kementerian Kewangan selari dengan Pelan Pemulihan (bailout) bernilai RM19.9 bilion yang dilaksanakan kerajaan PH pada permulaan tahun 2019.

"Sebab apa bailout kerajaan diperlukan bagi TH? Sebab selepas PH menang PRU14, pasaran saham Malaysia menjunam dan menjadi pasaran saham paling corot dalam dunia.

"Lebih 52 peratus aset TH masa itu adalah di dalam pasaran saham kita," tulis Najib dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini.

Jelasnya, ekoran nilai aset TH menjunam teruk maka PH memainkan propaganda bahawa TH di bawah kerajaan BN sebelum ini telah menipu akaun yang mana badan itu defisit RM4.1 bilion pada akhir tahun 2017 dan TH perlu menjual aset untuk memulihkannya.

Akibatnya kata Najib, defisit yang ditipu PH sebanyak RM4.1 bilion pada akhir tahun 2017 menjadi defisit sebanyak RM17.8 bilion pada permulaan tahun 2019.

Sebab itu, dakwanya, kerajaan PH menjual aset RM19.9 bilion kepada syarikat tujuan khas dimiliki Kementerian Kewangan sebagai bailout.

Katanya, amat malang apabila pemimpin PH bersyukur dengan jawapan kerajaan PN semalam dengan merujuk kenyataan Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail di Facebooknya.

Dengan memuat naik salinan jawapan pertanyaan lisan di Facebooknya, Saifuddin berkata ia membuktikan bahawa TH tidak pernah dijual.

"Alhamdulillah terjawab sudah dan terserlah kebenaran bahawa TH tidak pernah dijual malah semakin pulih prestasi kewangannya," tulis Saifuddin.

Menurut jawapan bertulis itu, TH kini mencatat lebihan aset sebanyak RM1.9 bilion.

Menurut Perdana Menteri Muhyiddin Yassin laporan prestasi TH pada setengah tahun pertama 2020 menunjukkan aset yang dimiliki agensi itu ialah sebanyak RM78.0 bilion.

"Kedudukan terkini aset Tabung Haji pada 30 Jun seperti yang diumumkan dalam laporan prestasi setengah tahun pertama 2020 adalah berjumlah RM78.0 bilion, dengan lebihan aset berbanding liabiliti sebanyak RM1.9 bilion," katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat semalam.

Mengulas lajut Najib berkata, jawapan kerajaan PN bahawa aset-aset yang dipindah kepada Kementerian Kewangan bukan dikuasai orang bukan Islam kerana kementerian itu kini diterajui oleh orang Islam.

"Kerana Menteri Kewangan semalam bukan lagi anak (Lim) Kit Siang," tulis Najib lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS