Speaker Dewan Rakyat hari ini membenarkan Anggota Parlimen Baling, Abdul Azeez Abdul Rahim terlepas daripada sebarang tindakan ekoran dakwaan menggunakan kata-kata rasis dan kenyataan seksis.
Dengan berbuat demikian, Azhar mungkin gagal mempertahankan pendirian beliau sendiri yang pernah mengatakan beliau mengharapkan beberapa perkara daripada seorang speaker.
Pada tahun 2018, sebelum persidangan pertama bagi parlimen ke-14, Azhar menggariskan syarat bagi seseorang speaker dalam program YouTube "The Art of the Matter" yang diterbitkan The Malaysian Insight.
Dalam program itu, beliau menjelaskan bahawa jawatan speaker merupakan salah satu tugas sangat penting dan menyatakan bahawa sumpah oleh speaker mendahului ahli parlimen yang lain.
Azhar juga dalam program yang sama, mengkritik bekas speaker kerana gagal menjalankan tugas mereka dengan betul.
Secara khusus, Azhar merujuk kepada Pandikar Amin Mulia, tanpa menamakan beliau.
Di antara kritikan terhadap Pandikar oleh Azhar adalah menghentikan pembangkang daripada membahaskan rang undang-undang yang dikemukakan Anggota Parlimen Marang, Abdul Hadi Awang untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965, membenarka menteri kabinet memberikan jawapan yang tidak memuaskan dan menggantung anggota parlimen dengan sewenang-wenangnya.
"Kegagalan lain yang kami lihat adalah keengganan speaker untuk mengawal tingkah laku yang tidak beretika.
"Untuk memberi amaran kepada ahli parlimen tertentu agar tidak bertindak kasar, (menggunakan) bahasa kasar, dan bahkan (membuat) kenyataan seksis.
"Kita berada di 2018, tahun lalu 2017 dan (pada masa itu) ada anggota parlimen yang merupakan menteri atau timbalan menteri yang menggunakan kata-kata seksis terhadap seorang anggota parlimen wanita.
"Speaker membiarkannya," katanya pada masa itu.
Azhar juga berkata bahawa speaker mestilah seorang yang berintegriti, bebas dan berpengalaman dalam urusan parlimen.
"Jadi, kita dapat mengadakan perbincangan dan perdebatan yang sangat sopan tetapi tegas mengenai perkara-perkara yang penting bagi masyarakat," katanya.
Terdahulu hari ini, Ahli Parlimen Batu Kawan, P Kasthuri Patto cuba menarik perhatian Azhar atas aduan beliau terhadap tiada lantikan wakil daripada wanita dalam jawatankuasa pemilihan parlimen yang baru.
Namun, Abdul Azeez didengar mencelah dengan berkata “gelap, (speaker) tak nampak (kamu)”.
Ini menyebabkan keadaan parlimen menjadi kecoh seketika apabila pembangkang meminta Azhar membuat keputusan dan menuntut permintaan maaf Abdul Azeez.
Abdul Azeez bagaimanapun menyarankan Kasthuri Patto agar memakai "bedak".
“Saya tidak menyatakan bahawa beliau atau YB ini gelap. Saya pun gelap, pakailah bedak,” katanya.
Jawapan itu hanya memburukkan lagi keadaan kerana pembangkang mendakwa Abdul Azeez membuat kenyataan seksis.
Azhar tidak mengendahkan pembangkang dan terus membenarkan usul untuk melantik Jawatankuasa Pemilihan yang baru untuk diundi tanpa dibahaskan.