Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Speaker baru Dewan Rakyat ikrar tak bertindak kontroversi

PARLIMEN | Azhar Azizan Harun berikrar beliau tidak akan bersikap kontroversi dalam menggalas tanggungjawab sebagai Yang di-Pertua Dewan Rakyat yang baru.

Sebaliknya, Azhar berkata beliau akan bertindak sesuai dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan sedia ada.

"Masyarakat mengatakan bahawa ketika saya dilantik sebagai pengerusi SPR (akan ada kontroversi), tetapi saya tidak bertindak sedemikian. Saya juga tidak akan bertindak kontroversi di sini, ini adalah tugas.

"Kami melakukannya sesuai dengan Perlembagaan Persekutuan dan saya berhasrat untuk menegakkannya," katanya dalam sidang media pertamanya selepas dilantik sebagai speaker Dewan Rakyat yang baru di Parlimen, hari ini.

Beliau mengulas dakwaan beberapa pihak bahawa lantikannya sebagai Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini mempunyai unsur-unsur kontroversi.

Azhar hari ini dilantik sebagai speaker Dewan Rakyat yang baru bagi menggantikan Mohamad Ariff Md Yusof yang digugurkan dari jawatannya. Bagaimanapun proses pelantikannya dibantah pembangkang kerana dibuat tanpa undian ahli Parlimen.

Sebelum usul pelantikannya dibentangkan oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh), pembangkang menyuarakan hasrat untuk turut menamakan calon speaker.

Bagaimanapun Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan memaklumkan bahawa pemberitahuan 14 hari diperlukan untuk pencalonan itu dan pembangkang tidak mencalonkan sesiapa dalam tempoh masa tersebut.

Ngeh Koo Ham (DAP-Beruas) kemudian bangkit dan berkata tempoh 14 hari harus bermula selepas jawatan speaker dikosongkan, iaitu hari ini.

Usul penyingkiran Ariff yang dibentangkan pagi tadi diluluskan melalui undi belah bahagi yang menyaksikan 111 anggota parlimen bersetuju manakala 109 lagi menolak usul berkenaan.

Isu tempoh pemberitahuan 14 hari itu mencetuskan pertelingkahan dan Timbalan Speaker Rashid Hasnon kemudian memutuskan bahawa masa untuk mencalonkan calon baru telah berlalu.

Azhar kemudian mengangkat sumpah sebagai speaker.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS