Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dewan Rakyat kecoh gara-gara kenyataan 'gelap, pakai bedak'
Diterbitkan:  Jul 13, 2020 4:53 PM
Dikemaskini: 3:30 PM

PARLIMEN | Dewan Rakyat menjadi kecoh selepas Abdul Azeez Abdul Rahman (PN-Baling) mencelah ketika Kasthuri Patto (PH-Batu Kawan) dengan berkata “gelap, tak nampak”.

Ketika itu Kasthuri sedang mempersoalkan berkenaan kekurangan anggota parlimen wanita yang diusulkan bagi menggantikan anggota jawatankuasa pemilihan parlimen.

Beliau pada awalnya dilihat tidak perasan dengan kenyataan itu dan terus berbahas sehinggalah RSN Rayer (PH-Jelutong) bangun dan meminta Abdul Azeez menarik balik kata-katanya.

Ini menyebabkan Azeez bangun dan berkata “Saya juga gelap, takkan gelap nak jadi isu.

“Saya tidak menyatakan bahawa beliau atau YB ini gelap. Saya pun gelap, pakailah bedak,” katanya susulan bantahan dari beberapa anggota parlimen pembangkang, yang turut menggesa Azeez menarik balik kenyataannya.

Setelah itu, Kasthuri memetik Peraturan Mesyuarat 36 yang menyatakan tidak wajar untuk anggota Dewan Rakyat menggunakan bahasa yang menyinggung perasaan atau membuat komen bernada seksis

Katanya lagi, Azeez bukan hanya memanggilnya gelap malah menyuruhnya untuk memakai bedak.

“Ini rasis,” kata Rayer menyusulinya.

Azeez bersama beberapa anggota parlimen kerajaan menambah bahawa tiada salah untuk memakai bedak.

Sementara itu, Kasthuri turut mempersoalkan mengapa kebanyakan anggota parlimen wanita dilihat tidak membantah kenyataan itu.

Setelah kedua-dua pihak mula bertikam lidah, Menteri Undang-Undang Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) berkata usul untuk menggantikan jawatankuasa pemilihan parlimen perlu diundi serta-merta memandangkan tiada perbahasan berkenaan perkara tersebut.

Setelah proses undi dilaksanakan yang memihak kepada usul tersebut, perbalahan berkenaan kenyataan Abdul Azeez kembali bersambung.

Speaker Dewan Rakyat yang baru, Azhar Harun dilihat cuba untuk menenangkan situasi kecoh tersebut.

Bagaimanapun, Takiyuddin kemudian mengusulkan supaya persidangan ditangguhkan ke pagi esok dan menyebabkan perbalahan itu akhirnya berhenti. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS