Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Muar dilanda banjir kilat
Diterbitkan:  Jul 13, 2020 1:25 PM
Dikemaskini: 5:25 AM

Hujan lebat sejak awal pagi ini mengakibatkan 22 kawasan rendah di sekitar Muar dilanda banjir kilat termasuk Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF).

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Muar menerusi kenyataan berkata kejadian disebabkan hujan lebat mulai 4 pagi melebihi 60 milimeter ditambah fenomena air pasang di daerah tersebut.

“Setakat 10 pagi, antara kawasan terjejas adalah pusat bandar Muar, Kampung Sabak Awor, Kampung Seri Menanti, Kampung Parit Tengah, Jalan Bentayan, Parit Perupok dan Kampung Dato’ Seri Amar Diraja,” menurut kenyataan terbabit.

Satu pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Maharani manakala empat lagi PPS iaitu Dewan Maharani, SMK Dato’ Seri Amar Diraja, Sekolah Kebangsaan Parit Keroma serta SMK Sungai Abong sedang dalam keadaan siap sedia untuk dibuka, menurutnya.

Menurut kenyataan itu, pemantauan terhadap banjir sedang dilakukan dari semasa ke semasa oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Sementara itu, Pengarah HPSF Dr Muhammad Yusof Sibert ketika dihubungi berkata kejadian banjir kilat itu tidak menjejaskan operasi hospital itu.

“Tiada pesakit dipindahkan akibat banjir kilat ini dan air mulai surut kira-kira 10.30 pagi tadi,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS