Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
NGO: 'Kempen awam' terhadap dokumentari Al Jazeera dedah migran, media pada risiko
Diterbitkan:  Jul 12, 2020 12:03 PM
Dikemaskini: Jul 18, 2020 5:23 AM

Beberapa NGO antarabangsa berkata tindakan kerajaan Malaysia yang menurut mereka menyasarkan Al Jazeera dan warga asing yang ditemu bual dalam laporan dokumentari kontroversi baru-baru ini telah meletakkan kebebasan media dan kehidupan warga asing dalam risiko.

Mereka menggesa kerajaan Perikatan Nasional (PN) agar menghentikan siasatan terhadap pasukan Al Jazeera di bawah undang-undang "yang tidak sesuai dengan standard dan undang-undang hak asasi manusia antarabangsa".

"Berbanding menangani kebimbangan yang dibangkitkan dalam dokumentari itu, kerajaan sebaliknya menyoal siasat wartawan yang terlibat dan mencari pekerja asing yang bercakap dengannya.

"Dengan memulakan kempen awam terhadap warga asing dan pelarian dan menyiarkan maklumat peribadi pekerja asing dalam dokumentari itu, pihak berkuasa juga meletakkan kehidupan dan keselamatan mereka dalam bahaya," kata mereka dalam kenyataan.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Amnesty International, Civicus World Alliance for Citizen Participation dan Suruhanjaya Pakar Undang-undang Antarabangsa (ICJ).

Pada 10 Julai lalu, Enam kakitangan Al Jazeera dipanggil ke Bukit Aman untuk memberi keterangan berkenaan dokumentari bertajuk Locked Up in Malaysia’s Lockdown yang disiarkan Al Jazeera 101 Eat pada 3 Julai lalu.

Organisasi media yang berpangkalan di Qatar itu kini disiasat di bawah Akta Hasutan, Kanun Keseksaan dan Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998.

Pihak berkuasa juga mencari seorang pekerja asing yang ditemu bual dalam dokumentari itu, dan telah mendedahkan gambar dan maklumatnya kepada awam.

Dalam kenyataan bersama itu, tiga NGO itu turut menyuarakan kebimbangan dengan amaran yang dikeluarkan pihak berkuasa bahawa permit kerja wara asing boleh dibatalkan jika mereka membuat "kenyataan tidak tepat" terhadap negara.

"Ia dilihat untuk menakut-nakutkan pekerja asing lain daripada bersuara tenang pencabulan hak asasi dan layanan yang teruk. Tindakan ini menyebabkan meningkatkan sikap tidak toleransi terhadap kebebasan ekspresi, termasuk pandangan-pandangan kritikal."

Sejak ia disiarkan, Al Jazeera menerima kecaman daripada warga maya yang mendakwa kesalahan fakta dalam laporan itu dengan ada yang menggesa Rayhan dan wartawan organisasi media itu diusir.

Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob pula membidas Al Jazeera dan menyifatkan laporan itu sebagai pembohongan, serta mendesaknya memohon maaf.

"Menuduh tindakan kita sebagai rasis juga tidak benar. Apa yang dilakukan adalah berdasarkan undang-undang. Jabatan Imigresen Malaysia guna akta imigresen, untuk tangkap mereka yang tidak mempunyai dokumen sah," katanya.

Pengurusan Al Jazeera mempertahankan dokumentari kontroversi itu dan menyatakan kebimbangan terhadap gangguan yang dihadapi oleh kakitangannya susulan reaksi balas terhadap dokumentari tersebut.

Sabtu lalu, Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador memberi jaminan kepada semua wartawan di Malaysia berkenaan keselamatan mereka, dan menyatakan komitmen untuk menegakkan kebebasan media.

Beliau juga menggesa pekerja asing yang dicari pihak berkuasa berkaitan dokumentari itu untuk tampil ke depan dan memberi jaminan terhadap keselamatannya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS