Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis: Dilarang jual lambang negara, darjah kebesaran

Orang ramai tidak boleh menggunakan nama atau lambang ternyata atau tiruan serupa untuk tujuan perdagangan, perniagaan, pekerjaan atau profesion, kata Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador.

Katanya mereka yang didapati berbuat demikian boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Bercakap kepada Bernama, Abdul Hamid menjelaskan menurut Akta Lambang dan Nama (Pindaan) 2016, lambang ternyata merangkumi jogan, jata dan mohor rasmi Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong, Mohor Besar Persekutuan, Jata Persekutuan, meterai rasmi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, darjah dan lambang kebesaran.

“Pingat, lencana dan bintang kehormatan yang ditetapkan oleh statut Yang di-Pertuan Agong, lambang Pertubuhan Polis Jenayah Antarabangsa (Interpol) dan lambang Bank Negara Malaysia juga termasuk dalam lambang ternyata,” katanya.

Menurutnya polis telah menerima satu laporan berhubung penjualan lambang ternyata secara berleluasa dalam talian pada 1 Julai lepas.

Media sebelum ini melaporkan polis telah memulakan siasatan berhubung penjualan pingat, pelekat kereta dan barangan lain yang mempunyai lambang Jata Negara serta darjah kebesaran lain yang dikeluarkan oleh Sultan dan Yang Dipertua Negeri.

Selain Jata Negara, banyak barangan lain yang berkaitan dengan agensi penguatkuasaan antaranya Jabatan Penjara, Jabatan Imigresen, Jabatan Sukarelawan Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia yang dijual termasuk menerusi platform dalam talian (e-dagang).

Sementara itu, ditanya mengenai kes sebuah buku yang didakwa menghina Jata Negara baru-baru ini, Abdul Hamid berkata selain merampas 546 naskhah buku berkenaan, polis turut mengambil keterangan pelukis, penerbit dan pencetak.

Keterangan penyumbang artikel akan diambil dalam masa terdekat, katanya, menambah polis sedang mengesan editor buku berkenaan bagi membantu siasatan.

Beliau berkata kes berkenaan diklasifikasikan di bawah Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Pindaan) 2016 kerana kesalahan larangan mengguna lambang, nama dan rupaan gambar dengan tidak wajar; Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948; Seksyen 8(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984; dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988.

Baru-baru ini, tular di media sosial sebuah buku bertajuk 'Rebirth: Reformasi, Resistance, And Hope In New Malaysia' yang mempamerkan sebuah logo mirip Jata Negara yang diubah suai sebagai penghias kulit depan buku berkenaan.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS