Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hagia Sophia kembali jadi masjid selepas 86 tahun
Diterbitkan:  Jul 11, 2020 12:20 PM
Dikemaskini: 4:33 AM

GLOBAL | Salah satu bangunan paling ikonik di dunia bakal bertukar menjadi masjid tidak lama lagi.

Hal itu diumumkan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan awal pagi tadi (waktu Malaysia).

Bangunan Hagia Sophia - atau Ayasofia - itu asalnya dibina empayar Rom Timur sebagai gereja besar pada abad keenam Masihi sebelum diubah menjadi masjid oleh kerajaan Uthmaniyah pada 1453.

Statusnya sekali lagi bertukar apabila kerajaan sekular Turki menjadikannya muzium pada1934.

Lebih 50 tahun kemudian Hagia Sophia itu diiktiraf Unesco sebagai sebahagian daripada Kawasan Bersejarah Tapak Warisan Dunia Istanbul.

Dalam pengumuman Erdogan, keputusan itu dibuat selepas mahkamah tertinggi Turki memutuskan tindakan kerajaan terdahulu mengubah status Hagia Sophia menjadi muzium sebagai tidak sah.

Pengumuman itu dibuat beberapa jam selepas hakim membuat keputusan.

Ia berlaku ketika pelbagai pihak antarabangsa memberi amaran agar status bangunan tersebut - yang berusia hampir 1,500 tahun dan dianggap suci oleh penganut Islam serta Kristian - dikekalkan.

Keputusan tidak sah

"Keputusan diambil untuk menyerahkan pengruusan Masjid Ayasofia kepada Pihak Berkuasa Hal Ehwal Agama Turki dan ia dibuka kepada umat Islam untuk bersembahyang," kata Erdogan yang dipetik Al Jazeera hari ini.

Sebelum ini Erdogan mencadangkan agar bangunan tersebut - satu daripada mercu tanda paling popular dalam kalangan pelancong - ditukar kembali menjadi masjid.

Sebelum pengumuman itu dibuat, mahkamah Turki membenarkan permohonan sebuah pertubuhan Islam tempatan yang meminta agar status muzium untuk Hagia Sophia dibatalkan.

"Kesimpulannya bangunan ini adalah sebuah masjid dan penggunaannya di luar fungsi tersebut tidak mungkin dibuat secara sah," kata penghakiman berkenaan.

Ia juga mendapati keputusan kabinet Turki yang menamatkan penggunaan bangunan tersebut sebagai masjid pada 1934 menyalahi undang-undang.

Erdogan turut mengongsikan salinan keputusan mahkamah berkenaan bangunan berkenaan dalam salah satu ciapannya.

Seorang jurucakap Erdogan, Ibrahim Kalin, pada awal minggu ini pernah berkata pelancong masih dialu-alukan melawat Hagia Sophia.

"Membuka Hagia Sophia untuk beribadat tidak akan menghalang pelancong tempatan dan asing daripada melawat tapak ini," katanya.

Sementara itu pemerhati antarabangsa mengambil sikap berhati-hati mengenai masa depan Hagia Sophia.

Naib Presiden Tabung Monumen Dunia, Jonathan Bell berkata keadaan dan kedudukan Hagia Sophia diyakini akan berubah dari semasa ke semasa mengikut pengumuman baru kerajaan.

Profesor di Jabatan Seni dan Arkeologi Universiti California, Sharon Gerstel, pula berkata keputusan berkenaan bersifat provokasi dan mengundang bantahan antarabangsa.

Katanya tidak dapat dipastikan apa langkah lanjut akan diambil kerajaan Erdogan selepas ini.

“Ia masih suatu simbol kepada Kristian Ortodoks. Justeru sebarang ancaman kepada bangunan itu akan menarik banyak minat," katanya seperti dipetik portal National Geographic hari ini.

Secara peribadi, kata Sharon, dia berpendapat orang ramai perlu bersabar dan melihat perkembangan dalam tempoh seminggu dua ini.

"Tapi saya rasa banyak penjelasan yang perlu dibuat mengenai rancangan Erdogan," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS