Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Kenyataan menteri bawa persekitaran tak selamat buat transgender'
Diterbitkan:  Jul 11, 2020 9:31 AM
Dikemaskini: 1:31 AM

Kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Zulkifli Mohamad bahawa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) memiliki "lesen penuh" untuk mengambil tindakan terhadap transgender berisiko mencetuskan lebih ancaman dan persekitaran tidak selamat buat golongan itu, kata aktivis transgender Nisha Ayub.

Nisha berkata, apatah lagi di saat golongan itu sudah pun menjadi sasaran dan seperti orang lain, turut terkesan dengan wabak Covid-19.

"Kenyataan seumpama itu boleh mencetuskan bahaya dan ketakutan terhadap (golongan) transgender dan mewujudkan persekitaran tidak selamat kepada komuniti ini.

"Apa yang dimaksudkan menteri dengan 'beri lesen penuh kepada semua penguat kuasa Jawi'? Mengapa sasarkan kami sebagai minotiti?" soalnya dalam satu hantaran Facebook semalam.

Semalam, Zulkifli dalam satu kenyataan di Facebook berkata Jawi boleh mengambil tindakan terhadap transgender.

Bagaimanapun beliau berkata ia perlu dibuat mengikut SOP (prosedur operasi standard) dan aspek "tarbiah" lebih utama.

Kenyataan itu dibuat beberapa hari selepas media sosial 'panas' dengan isu berkaitan Nur Sajat yang beraksi dengan bikini di media sosialnya.

Nisha berkata lagi, golongan transgender tidak memberi ancaman kepada pihak lain mahupun negara.

"Apa terjadi kepada hak berdasarkan Perlembagaan Persekutuan? Hak untuk kebebasan peribadi, kesamaan, ekspresi, pergerakan, agama dan sebagainya? Adakah sekarang kami tidak dibenarkan untuk berjalan di tempat awam sebagai diri sendiri?" soalnya lagi.

Pada 2018, ketika pentadbiran PH, Menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika itu Mujahid Yusof menyeru agar orang ramai berhenti daripada mendiskriminasi golongan transgender bagi mengelakkan mereka terpaksa menjadi pekerja seks.

"Golongan transgender tidak menuntut untuk perkahwinan sesama jenis...Oleh itu kasihan kerana mereka ditindas di tempat kerja dan ketika ke klinik mereka tidak mendapat layanan wajar hingga akhirnya mereka tidak bekerja lalu terjebak menjadi pekerja seks," katanya pada masa itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS