mk-logo
Berita
Jumpa tulang manusia: Polis tunggu sampel buat perbandingan
Diterbitkan:  Jul 9, 2020 10:24 PM
Dikemaskini: 2:24 PM

Pihak keluarga wanita warga Australia Anna Jenkins yang dilaporkan hilang pada 2017 di Pulau Pinang, bersedia untuk menghantar sampel DNA kepada polis bagi ujian perbandingan yang bertujuan mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai penemuan tulang manusia di sebuah kawasan hutan berhampiran Jalan Batu Gantung, di George Town baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Soffian Santong berkata setakat ini, pihaknya masih belum dapat mengesahkan sama ada tulang pinggul manusia yang dijumpai itu mempunyai kaitan dengan Kes Orang Hilang (warganegara asing) pada 2017 di daerah Timur Laut Pulau Pinang.

Beliau berkata pihaknya akan terus berurusan dengan kedutaan Australia di Malaysia untuk mendapatkan sampel DNA keluarga wanita itu bagi tujuan menentukan mengenal pasti tulang berkenaan, dan semalam pihak polis telah menerima maklum balas daripada keluarga wanita itu yang bersetuju untuk menghantarnya dari Australia.

"Bagi tujuan perbandingan, Jabatan Kimia Pulau Pinang juga bersetuju untuk melaksanakannya dengan segera sebaik sahaja mendapat sampel itu," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas melawat tempat penemuan tulang, longgokan pakaian serta barangan berkenaan di George Town hari ini.

Tulang-tulang dan semua longgokan pakaian dan barangan itu dijumpai seorang lelaki yang sedang melakukan kerja-kerja landskap menanam pokok di kawasan hutan berhampiran pada kira-kira pukul 4.00 petang, 24 Jun lepas.

Soffian berkata tulang dan longgokan barang peribadi itu ditemukan dalam keadaan berselerak kira-kira tiga kilometer dari lokasi terakhir wanita itu dilaporkan berada iaitu di Jalan Scotland, dan menurutnya tulang-tulang itu ditemui di atas bukit iaitu 15 meter dari barangan peribadi yang ditemui di atas tanah merah kawasan yang mahu dijadikan kawasan landskap, manakala baju pula kira-kira lima meter dari barangan peribadi.

"Siasatan juga mendapati, kawasan penemuan tulang dan barangan itu adalah kawasan hutan pada tahun 2017 ketika wanita itu dilaporkan hilang yang kini ia dibangunkan menjadi kawasan perumahan. Kami juga akan terus menyiasat bagaimana barang dan tulang berkenaan boleh berada di situ," katanya.

Dalam masa sama, Soffian sekali lagi menegaskan pihak polis tidak pernah menghentikan siasatan kes Anna Jenkins seperti dakwaan media di Australia dan sebarang petunjuk yang diperoleh akan digunakan sebaik mungkin bagi merungkai misteri kehilangan wanita itu.

Beliau berkata pihaknya juga akan mengambil keterangan daripada beberapa individu termasuk pengurus dan pekerja di tapak projek itu serta memanggil semula pemandu Uber yang membawa wanita itu sebelum kehilangannya, bagi membantu siasatan.

Pada 13 Dis 2017, Jenkins, 65, dikatakan keluar dari bilik hotelnya untuk ke klinik gigi di Pulau Tikus dan meminta pekerja memesan perkhidmatan Uber untuk ke sebuah rumah kebajikan di Batu Lanchang selepas selesai rawatan, sebelum beliau hilang begitu sahaja.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS