Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pelajar di asrama akhirnya dibenar pulang sambut Aidiladha
Diterbitkan:  Jul 9, 2020 8:53 PM
Dikemaskini: Jul 15, 2020 2:09 AM

Melegakan ibu bapa, hari ini Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengumumkan kerajaan membenarkan pelajar yang berada di asrama pulang untuk menyambut Aidiladha hujung bulan ini.

Mengumumkan hal itu hari ini KPM berkata keputusan tersebut dibuat selepas mengambil maklum reaksi dan pertanyaan ibu bapa mengenai hal berkenaan.

"Dengan penambahbaikan kepada prosedur operasi standard sedia ada, KPM tiada halangan membenarkan murid pulang ke rumah untuk menyambut Hari raya Aidiladha bersama keluarga.

"KPM sentiasa mengambil kira pandangan dan saranan Kementerian Kesihatan bagi memastikan pembukaan semula sekolah, khususnya sekolah berasrama, berjalan dengan lancar," menurut KPM dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) memohon KPM menimbang semula cuti bersempena Aidiladha bagi memberi peluang kepada orang ramai menyambutnya di kampung.

Pada masa sama sesetengah ibu bapa resah apabila pihak sekolah memberitahu pelajar yang tinggal di asrama tidak akan dibenarkan pulang berhari raya.

Alasan yang diberikan ialah kerana mengikut SOP pihak berkuasa bagi menangani ancaman Covid-19.

Tingkatan 1, 2 dan 3 masuk 3 Ogos

Jika menjadi kenyataan ia merupakan satu sejarah kerana pelajar - termasuk dalam kalangan pelajar kurang upaya atau berkeperluan khas - terpaksa berada di asrama masing-masing pada hari raya.

Untuk rekod sambutan 1 Syawal lalu juga menyaksikan kebiasaan baru apabila sembahyang sunat hari raya diadakan di rumah masing-masing manakala pergerakan rentas negeri tidak dibenarkan.

Sesetengah pihak pula mempertikaikan arahan berkenaan ketika semakin banyak kelonggaran diberikan di luar sekolah.

Dalam kenyataan sama KPM turut mengumumkan pembukaan semula sekolah bagi murid bukan kelas peperiksaan awam secara berperingkat, bermula 15 Julai.

Bagaimanapun, menurut kenyataan itu, hanya murid tingkatan empat dan tingkatan enam semester satu 2020 di sekolah berasrama di bawah KPM akan kembali bersekolah pada tarikh tersebut.

"Keutamaan diberi kepada kumpulan murid ini adalah bagi memastikan mereka mempunyai masa yang mencukupi untuk persediaan menduduki peperiksaan awam pada tahun 2020," katanya.

Bagi murid tingkatan satu, dua dan tiga di sekolah berasrama akan memulakan persekolahan pada Isnin, 3 Ogos.

"Ini memandangkan mereka akan meneruskan pembelajaran berasaskan home-based learning sehingga tempoh tersebut.

"Ia diguna pakai untuk Sekolah Berasrama Penuh, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama, Sekolah Agama Bantuan Kerajaan, Sekolah Sukan Malaysia, Sekolah Sukan Negeri dan Sekolah Seni Malaysia," kata KPM.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS