Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor digesa untuk memberi penjelasan berhubung tempat sembahyang Hindu berusia lebih 70 tahun di Jalan Stesen, Alor Setar awal pagi tadi.
Tindakan pada jam 1 pagi itu mengundang kecaman pengkritik, antaranya bekas ahli Majlis Bandar Raya Alor Setar (MBAS) R Kumaraguru Naidu.
"Sebenarnya, isu nak robohkan kuil ini hanya dibangkitkan selepas kerajaan Perikatan Nasional mengambil alih kerajaan negeri kononnya kuil itu menyebabkan kesesakan lalu lintas di kawasan itu.
"Memang terdapat aduan ketika kerajaan PH untuk mengalihkan kuil ini ke tempat, di mana pihak kuil bersetuju.
"Ketika itu kerajaan PH Kedah juga telah mengeluarkan arahan supaya tidak merobohkan tempat ibadat bukan Islam yang lama.
“Tiba-tiba PN mengambil alih kerajaan negeri kuil dirobohkan," katanya kepada Malaysiakini.
Kuil Sri Madurai Veeran itu dibina pada tahun 1942 oleh pekerja Keretapi Tanah Melayu (KTM).
Sementara itu, Kumaraguru berkata pihak berkuasa tempatan merobohkan kuil itu walaupun pentadbiran kuil pada 6 Julai lalu membuat permohonan menanggungkan perobohan itu.
Beliau juga berkata patung dan alat sembahyang dirampas oleh MBAS.
"Kami nak MB Kedah segera memberi penjelasan," katanya.
Dah beri masa cukup, kata pegawai MB
Sementara itu, pegawai khas menteri besar Kedah, B Kumaresan berkata bahawa pihak kuil telah pun diberi masa secukupnya untuk berpindah.
"Ini isu lama. Ketika kerajaan PH, terdapat tiga notis untuk pihak kuil agar mengalihkan kuil dari sini. Namun, ia tidak dapat dilaksanakan selepas krisis Covid-19.
"Lepas PN ambil alih, MB berjumpa dengan pihak kuil pada 22 Jun dan bersetuju memberi masa 30 hari untuk mengalihkan kuil. Namun, MBAS tidak setuju tempoh masa yang panjang, maka ia dikurangkan kepada 10 hari.
"Dan pada 1 Julai, dalam mesyuarat exco negeri, tempoh tersebut ditambah tujuh hari lagi sehingga semalam (8 Julai). Pihak kuil menyedari tempoh yang diberi," katanya.
Bagaimanapun, anggota jawatankuasa MIC Kedah, K Tamilarasu berkata kenyataan Kumaresan tidak tepat.
"Kami ke pejabat MBAS dan berjumpa Datuk Bandar tengah hari tadi. Belia mengesahkan bahawa tidak ada arahan daripada pejabat MB untuk menghentikan perobohan kuil.
"Kalau betul, MBAS tolak permohonan MB supaya pihak kuil diberi tempoh 30 hari, saya minta pejabat MB untuk buktikan," katanya.
Beliau juga menyifatkan tindakan merobohkan pada awal 1 pagi itu sebagai tindakan serta menyinggung perasaan penganut Hindu.
"Kenapa MBAS nak robohkan kuil pada awal pagi sekiranya ia dilakukan berdasarkan undang-undang?" soalnya.
Pengerusi MIC Kedah S Ananthan dihubungi kemudian meluahkan rasa terkejut dengan perobohan tersebut.
"Saya terkejut. Kami MIC Kedah telah pun menghantar satu memorandum kepada kerajaan negeri pada 30 Jun agar isu kuil ini dibincangkan.
"Saya akan menghubungi Menteri Besar Kedah untuk mendapatkan penjelasan," katanya selepas melawat tapak kuil itu tengah hari tadi.