Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MPOB: Memang digalakkan minum sesudu minyak sawit merah sehari

Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menegaskan amalan meminum minyak sawit merah memang digalakkan kerana ia mengandungi khasiat yang tinggi.

Ketua pengarahnya, Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir, berkata kempen minum sesudu minyak sawit sehari yang dijalankan MPOB adalah merujuk kepada minyak sawit merah, bukan minyak sawit yang yang biasa digunakan untuk memasak.

"Sebenarnya yang kita kempen sesudu minyak sawit sehari adalah minyak sawit merah, bukan minyak masak.

"Ia merupakan sumber vitamin A dan E yang sangat baik untuk jantung, kesihatan mental, untuk diabetes dan sebagainya," kata beliau pada sidang media sempena program Jom MSPO (Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia) peringkat Kelantan di Machang, hari ini.

Turut hadir dan merasmikan program itu ialah Pengerusi MPOB, Ahmad Jazlan Yaakub, merangkap anggota Parlimen Machang.

Beliau berkata demikian ketika diminta menjelaskan mengenai kempen minum sesudu minyak sawit sehari yang popular ketika zaman Pakatan Harapan sebelum ini.

Kempen itu giat dipromosikan oleh Teresa Kok yang menjawat tugas sebagai menteri perusahaan utama. Anggota parlimen Seputeh itu bagaimanapun menjadi bahan sendaan, ejekan dan kecaman atas usaha tersebut.

Ahmad Jazlan (tengah) menyampaikan sumbangan kepada peserta Jom MSPO disaksikan Ahmad Parveez (kiri)

Ia mengiringi kempen menanam buluh yang turut diusahakan oleh beliau. Untuk rekod kempen menanam buluh turut digalakkan oleh pengganti Kok, Dr Khairuddin Aman Razali, dari PAS, yang menjadi menteri perusahaan perladangan dan komoniti.

Kata Ahmad Parveez ada empat atau lima syarikat yang menjalankan proses menghasilkan minyak sawit merah.


Baca Buluh ada masa depan cemerlang


"Kita ada minyak sawit merah jenis premium yang mempunyai kandungan vitamin yang tinggi dan digalakkan agar kita minum sesatu sudu sehari untuk membekalkan vitamin A dan E harian," katanya.

Menurut beliau lagi harga minyak sawit merah dalam bentuk cecair adalah lebih murah jika dibandingkan dengan dalam bentuk kapsul.

"Kalau kita nak beli dalam bentuk kapsul harganya mahal, kalau beli sebotol (minyak sawit merah) dalam RM20 boleh tahan dua tiga bulan dan dapat membantu kesihatan kita," katanya.

Menurut Ahmad Parveez lagi minyak sawit merah itu mengandungi khasiat yang lebih baik daripada minyak zaitun.

"Allah bagi kita minyak sawit suatu yang cukup baik. Saya rasa kita di Malaysia cuba memanfaatkan supaya kita boleh ambil satu sudu sehari," katanya sambil menjelaskan produk itu semakin mendapat sambutan yang baik di kalangan rakyat Malaysia.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS