Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

The Centre for Independent Journalism (CIJ) hari ini menggesa kerajaan untuk memperkasa kebebasan media di negara ini dan mendesak bagi penubuhan Majlis Media Malaysia sebagai badan kawal selia yang telus dan bebas untuk industri itu.

Dalam kenyataan yang diperakukan oleh 35 pertubuhan masyarakat sivil dan beberapa individu, CIJ menegaskan kontroversi yang tercetas susulan saluran berita Al Jazeera menyiarkan dokumentari bertajuk "Locked Up In Malaysia's Lockdown" adalah kes relevan untuk langkah itu.

CIJ berkata ini berikutan para menteri, ketua agensi kerajaan dan polis telah mengeluarkan kenyataan tegas berhubung dokumentari itu yang dianggap telah memberi gambaran negatif terhadap kerajaan.

Katanya kerajaan sepatutnya mengguna pakai langkah-langkah yang dapat memberikan penjelasan kepada orang ramai atau menggesa diadakan siasatan dalaman terhadap kemungkinan berlakunya salah guna kuasa atau kebolehpercayaan.

Dokumentari "Locked Up In Malaysia's Lockdown" oleh Al Jazeera memaparkan apa yang disifatkannya sebagai layanan buruk Malaysia terhadap pendatang tanpa izin ketika kemuncak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk membendung penularan Covid-19 di dalam negara.

Kalangan pemimpin kerajaan termasuk Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin telah mempertahankan tindakan Malaysia terhadap pendatang tanpa izin semasa PKP, menyatakan langkah tegas perlu diambil untuk melindungi keselamatan setiap orang, rakyat Malaysia dan juga bukan rakyat Malaysia.

Mereka juga menzahirkan rasa kecewa, menyifatkan dokumentari itu sebagai berat sebelah dan dilihat sebagai cubaan memberikan gambaran buruk tentang Malaysia.

Ia turut tidak disenangi rakyat Malaysia. Ramai meluahkan rasa marah di media sosial dengan menganggap Al Jazeera sengaja cuba mencemarkan imej Malaysia.

Sejak kerajaan melaksanakan PKP pada 18 Mac, negara telah mengendalikan pandemik itu dengan jayanya.

Malaysia malah mengubah suai Taman Ekspo Pertanian Serdang Malaysia (MAEPS) sebagai hospital sementara dengan kapasiti 604 pesakit bagi rawatan Covid-19 khusus untuk pendatang tanpa izin.

Hari ini, hanya tiga kes baharu COVID-19 dilaporkan di negara ini, menjadikan jumlahnya sebanyak 8,677 kes manakala jumlah yang sembuh sebanyak 8,486 (97.8 peratus). Jumlah kematian kekal 121 (1.39 peratus).

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS