Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Sarawak mohon kembalikan jawatankuasa khas kewarganegaraan

Sarawak akan mencadangkan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk mewujudkan semula Jawatankuasa Khas Kewarganegaraan di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan bagi menyelesaikan isu kanak-kanak tanpa kewarganegaraan atau dokumen pengenalan diri.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak, Fatimah Abdullah berkata satu pertemuan dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin akan dibuat berhubung penubuhan semula jawatankuasa itu yang ditamatkan perkhidmatannya pada 2 Julai tahun lepas.

"Dengan adanya jawatankuasa ini, kita sebenarnya dapat membantu untuk menapis serta memastikan semua dokumen pemohonan yang lengkap dan sahih untuk diberikan sokongan sebelum dimajukan kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan KDN," katanya kepada pemberita Kuching, Sarawak, hari ini.

Fatimah, yang terdahulu mempengerusikan mesyuarat isu kanak-kanak tanpa kewarganegaraan atau dokumen pengenalan diri di Sarawak di pejabatnya di sini, berkata proses itu akan memudahkan lagi kerja-kerja KDN dalam memproses permohonan itu.

Katanya sehingga 2 Julai tahun lepas, sejumlah 717 kes permohonan untuk mendapatkan status kewarganegaraan bagi kanak-kanak di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan telah dimajukan oleh jawatankuasa yang ditubuhkan pada 2016 itu.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS