Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
AMK S'gor cadang Adun Kota Anggerik isi jawatan exco
Diterbitkan:  Jul 8, 2020 2:42 PM
Dikemaskini: 8:01 AM

Pemuda PKR (AMK) Selangor mengusulkan kepada Menteri Besar Amirudin Shari supaya melantik anggota dewan undangan negeri (Adun) Kota Anggerik Mohd Najwan Halimi sebagai exco kerajaan negeri yang baru.

Pengarah Komunikasi AMK negeri, Mohd Khairool Ngadon berkata, perkara itu diputuskan melalui mesyuarat majlis pimpinan AMK negeri yang diadakan semalam.

Dalam kenyataan kepada media hari ini, katanya enam perkara diputuskan pada mesyuarat itu termasuk usul berkenaan.

"Kita mengusulkan kepada menteri besar Selangor supaya melantik Mohd Najwan Halimi, sebagai anggota majlis Mesyuarat kerajaan negeri Selangor yang baharu.

"AMK Selangor secara sepakat mengambil ketetapan untuk memperkukuh organisasi AMK di peringkat cabang khususnya dalam penyusunan jentera pilihan raya AMK bagi persiapan menghadapi pilihan raya umum tergempar," katanya.

Selain itu Mohd Kairool berkata pihaknya juga akan menggerakkan inisiatif menambah keanggotaan di peringkat AMK cabang khususnya dalam kalangan golongan belia di antara usia 18 hingga 35 tahun.

Selain itu menurutnya, AMK Selangor menyokong pendirian Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) untuk berusaha ke arah mengembalikan mandat rakyat dengan pencalonan Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri.

"AMK Selangor menyokong pendirian Majlis Presiden PH untuk berusaha ke arah mengembalikan mandat rakyat dengan Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri," katanya.

Sementara itu sayap PKR negeri itu juga membuat tiga pelantikan baru melibatkan lantikan Awalluddin Shariff sebagai penyelaras AMK Cabang Ampang; Mohammad Ammirul Azahar sebagai timbalan ketua penerangan AMK negeri dan Abdullah Sani Abu selaku timbalan ketua Skuad AMK negeri.

Terdahulu media melaporkan bahawa dua jawatan exco dalam kerajaan Selangor yang kini kosong akan diisi selewat-lewatnya sebelum hujung bulan ini.

Kekosongan itu susulan jawatan Exco Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan yang disandang wakil rakyat Bersatu, Abdul Rashid Asari berakhir selepas parti itu tidak lagi menjadi sebahagian gabungan PH, manakala penyandang jawatan Exco Perumahan dan Kehidupan Bandar, Haniza Talha pula dilucutkan keahliannya daripada PKR.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS