Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN | Sudah hampir tiga tahun kami mendekati golongan LGBT. Maknanya ia lebih awal sebelum isu LGBT dijadikan material palsu serangan politik terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH) khususnya Dr Mujahid Yusof.

Ia bermula dengan pertemuan Dr Zulkifli Mohamad dengan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menyantuni golongan LGBT. Ketika itu Zulkifli masih bergelar sahibus samahah tuan mufti.

Ia lama sebelum beliau digelar sebagai yang berhormat menteri.

Ekoran pertemuan itu saya berhubung dengan NGO terbabit. Ada agenda yang dicadangkan dan ia disambut dengan baik oleh mereka.

Maka saya bersama beberapa rakan yang bernaung di bawah gerakan Badan Islah Masyarakat Ibu Kota (Bismi) mula mengorak langkah. Beberapa program pun disusun dan kemudian dilaksanakan.

Apa yang mahu saya nyatakan di sini ialah, Zulkifli sebenarnya sudah lebih awal daripada kami memulakan usaha mendekati golongan yang selalu 'diperangi' itu.

Beliau mengorak langkah untuk mendekati dan cuba memahami mereka.

Sama ada wujud kaitan atau tidak, Mujahid - selaku menteri di Jabatan Perdana Menteri - hanya melakukan kerja-kerja seumpama itu selepas memenangi pilihan raya umum (PRU) pada Mei 2018.

Mujahid bukan pembuka langkah tersebut sebaliknya hanya menyambung apa yang dimulakan secara beragenda oleh Zulkifli.

Sayangnya, usaha Mujahid sebaliknya beban kepada beliau, parti dan kerajaan PH. Ia digubah untuk menjadi aset serangan politik oleh pembangkang ketika itu.

Sedikit sebanyak perancangan beliau terganggu. Pada masa sama saya tidak melihat ada pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia - agensi yang berada di bawah kementerian Mujahid secara langsung - ke depan membela.

Mungkin ada, tetapi saya tidak melihatnya begitu. Mujahid jadi 'terbiar' dan dipaksa bersilat menepis serangan demi serangan yang disasarkan kepadanya.

Ia tidak sekadar itu. Kerakusan segelintir pembangkang ketika itu juga langsung tidak mengambil kira hati dan perasaan golongan yang berkenaan. Itu pandangan pertama saya.

Isu lesbian, gay, biseksual dan transgender semakin berkembang di negara ini. Kita memang tidak suka, tetapi mereka semakin ramai. Malah mereka ada komuniti sendiri dan wujud keadaan saling bergantungan.

Mereka berkembang bukan kerana mahu mencabar agama, undang-undang atau masyarakat. Mereka berkembang kerana itulah sifat semula jadi manusia apabila berkelompok.

Bukan takutkan dengan azab Allah

Justeru, usaha mendekati LGBT - yang selama ini terabai - secara beragenda oleh kerajaan seharusnya disokong. Begitulah sepatutnya. Mendekati itu akan meningkatkan kemesraan dan persefahaman. Lantas setiap masalah yang ada kemudian dapat disaring bagi membolehkan kerajaan menyediakan penyelesaian tepat.

Kenapakah mereka mesti didekati? Baik yang mahu berubah atau yang enggan, sama sahaja bagi saya, khususnya dalam isu transgender.

Penyelesaian kepada masalah itu bukanlah dengan menakutkan mereka dengan azab Allah. Kenapa begitu?

Begini. Ramai pendakwah mahir dan cekap menggunakan ancaman azab Allah untuk menghina, mengecam dan melabel orang lain. Tapi golongan LGBT itu masih begitu. Mengapa?

Solusi kepada masalah transgender juga bukan dengan menahan dan memenjarakan mereka. Ia akan hanya melahirkan jiwa yang memberontak akibat penindasan yang dilakukan penguasa terhadap mereka.

Ia mungkin tidak begitu, tetapi dari sudut pandang mereka, ia begitulah.

Justeru apabila akhir-akhir ini ramai pula yang memberikan perhatian kepada 'keberahian' Muhammad Sajad Kamaruzzaman, saya terfikir akan hal tadi: memberontak.

Adakah dia sebenarnya sedang memberontak?

Kenapa golongan sebegitu sukar diislahkan dengan ancaman neraka dan penjara? Kerana mereka percaya mereka benar. Kerana mereka beranggapan mereka tidak melakukan apa-apa kesalahan.

Mereka percaya mereka adalah wanita yang terperangkap dalam jasad lelaki. Mereka anggap mereka memang wanita. Mindanya, nalurinya, nafsunya - semua wanita. Cuma alat kelamin sahaja tidak seperti wanita biasa. Itulah kata mereka.

Terdorong menamatkan hidup

Usah dihujah pandangan mereka dengan pandangan ulama, kitab atau khilaf fiqahnya. Itu semua bukan 'premis' mereka.

'Premis' mereka ialah: "Kenapa mesti memaksa kami yang wanita ini memakai baju lelaki, bercakap macam lelaki dan bergaul sebagai lelaki?"

Begitulah juga sebaliknya, jika mereka adalah wanita yang mahu menjadi lelaki. Jika pembedahan dilakukan, bagi mereka itu adalah proses untuk kembali kepada 'fitrah'.

Kepercayaan mereka itu pernah membuatkan seseorang terdorong untuk menamatkan hidup sendiri. Semuanya kerana tekanan yang dihadapi, termasuk daripada momokan masyarakat dan 'halangan' untuk menjadi diri sendiri mengikut keyakinan mereka.

Ini adalah kes yang benar dan pernah berlaku.

Saya pernah bertemu seorang abang yang sudah berpuluh tahun memakai baju kurung, bertelekung dan bertudung mengikut kehendak syarak, seperti menutupi paras dada.

Saya bertemu abang itu semasa sesi tazkirah di pejabat NGO di Kuala Lumpur.

Dia menjadi begitu dan istiqamah begitu kerana percaya dia mahu menjadi wanita solehah. Untuk itu dia tidak meninggalkan solat lima waktu saban hari.

Memang adalah yang mengada-ngada, berlebih-lebihan dan melampau sedangkan pada masa sama mereka boleh saja terus kekal sebagai individu sebenar. Lelaki terus menjadi lelaki dan wanita kekal menjadi wanita. Ya, memang ada yang begitu.

Justeru, pandangan ini harapnya dibaca dengan betul sebagaimana yang saya maksudkan.

Perbaiki kepercayaan

Bagaimana memperbaiki kepercayaan mereka?

Usaha yang dimulakan Mujahid adalah satu cara yang amat kena dan sesuai. Cuma malangnya ia menjadi bahan kecaman segelintir masyarakat. Sebahagian besar didorong oleh permusuhan dan kebencian politik.

Mereka hanya mahu membuktikan bahawa Mujahid tidak Islamik, bukan ulama, berfikiran liberal dan tidak mempraktikkan syariah.

Kenapa mereka mengecam Mujahid? Kerana kepercayaan. Mereka percaya mereka benar, Mujahid pula sangat salah. Kira-kira sama juga dengan keyakinan golongan transgender tadi.

Tidak mudah untuk menghentikan masalah LGBT dengan hanya kisah-kisah azab neraka dan tindakan undang semata-mata.

Pihak yang berkenaan harus berganding bahu mendekati golongan LGBT - khususnya dalam konteks tulisan ini, transgender - sehingga mereka percaya kita ikhlas mendekati mereka, mahu mencari kebenaran dan cuba berbincang.

Hanya ketika itu barulah akhirnya mereka bersedia mendengar isu kejantinaan dan hal-hal seputarnya.

Kami - Bismi - masuk melalui kelas al-Quran dan fikah. Kami ajar mereka sedikit demi sedikit mengenai Rukun Islam berserta praktiknya, khususnya syahadah, solat dan puasa.

Mereka - pada ketika itu - kekal sebagai lelaki yang menjadi wanita.

Tampak ada kesan positif, tetapi perjalanannya masih panjang. Kami tidak tetapkan objektif akhir secara spesifik. Ia tidak mudah. Ia memerlukan persetujuan bersama.

Jika saya berkesempatan berjumpa Sajat, mungkin saya akan mulakan dengan membetulkan bacaan Fatihah dia. Itu yang kami mulakan di pusat kebajikan di tengah Kuala Lumpur itu.

Kami berkenalan dan cuba bersahabat, bukan meminta bukti kejantinaan dengan alat kelamin mereka.


OMAR MOHAMED merupakan pegawai syariah yang bertugas di Kuala Lumpur dan berusaha bersama rakan-rakannya yang lain membantu menyemarakkan dakwah dalam kalangan komuniti sekitar Chow Kit dan Jalan Raja Laut.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS