Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Hak ketua k'jaan negeri PH nak mohon bubar DUN atau tidak'

Kerajaan negeri PH berhak untuk tidak turut membubarkan DUN jika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan dalam masa terdekat, kata Setiausaha Agung BN Annuar Musa.

Annuar berkata, mana-mana ketua kerajaan negeri berhak untuk berbuat demikian dan ia dibenarkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

"DUN, Dewan Rakyat proses pembubaran ada peraturan-peraturannya...bubar tak bubar itu telah tertulis dalam perlembagaan.

"Kalau PH kata negeri-negeri yang mereka pegang, kalau berlaku PRU, (tak mahu bubar Dun) Perlembagaan benarkan.

"Pendirian PH itu hak mereka, hak negeri-negeri berkenaan yang tertakluk kepada perkenan raja-raja ataupun sultan di negeri tersebut," katanya ketika ditemui dalam satu program di Kuala Lumpur, hari ini.

Semalam, PH membuat ketetapan negeri-negeri yang ditadbir gabungan tidak akan turut serta dalam pilihan raya umum jika ia diadakan sebelum tamat penggal ini.

Ketetapan itu dibuat ketika mesyuarat Majlis Presiden PH dan dimaklumkan dalam satu kenyataan yang ditandatangani Presiden PKR Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Majlis itu berkata, PH konsisten dengan pendirian bahawa fokus kerajaan persekutuan dan negeri adalah untuk membantu rakyat pasca wabak Covid-19.

Ia susulan kenyataan Menteri Kanan (Kluster Ekonomi) Azmin Ali bahawa pilihan raya umum boleh diadakan pada tahun ini atau tahun depan.

Menurut laporan Sin Chew Daily, Azmin berkata kerajaan telah cukup kriteria untuk melaksanakannya selepas berjaya menangani krisis kesihatan awam, politik dan ekonomi.

PH kini mentadbir tiga negeri, iaitu Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang manakala sekutunya Warisan mentadbir Sabah.

Sementara itu, Annuar berkata menjadi tradisi di negara ini pembubaran Parlimen akan disusuli dengan ketua kerajaan negeri akan memohon perkenan bagi pembubaran DUN.

"Kalau kita tengok (kebiasaannya) dalam sehari dua (selepas Parlimen dibubarkan), ketua kerajaan negeri akan memohon untuk DUN dibubarkan," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS